
WRUR BUKA RUANG PEMIMPIN SANTUNI RAKYAT
SERI NEGERI 25 April – Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) yang bermula pada tahun ini telah membuka ruang cukup besar untuk pemimpin mendengar dan menyelami permasalahan rakyat di seluruh negeri.
Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam berkata, menerusi program itu, ia juga membuka ruang kepada kesemua wakil rakyat di negeri ini menyantuni rakyat bagi mengangkat aduan supaya penyelesaian setiap masalah dapat dilaksanakan secara holistik, segera dan berkesan.
“Oleh itu, saya menyeru kepada semua wakil rakyat agar dapat mengambil peluang ini untuk mendengar, menyantuni dan mengambil tindakan terhadap isu-isu yang dihadapi rakyat.
“Kerajaan Negeri juga perlulah memantau dan memastikan program ini dapat benar-benar memberikan impak yang positif terutamanya kepada masyarakat secara keseluruhan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada ucapan perasmian pembukaan Persidangan Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Kelima Belas di Dewan Persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan isteri Datin Seri Utama Datuk Wira Zuriyah Ab Aziz.
Turut bersama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan negeri serta ketua-ketua jabatan agensi kerajaan.
Untuk rekod, WRUR yang bermula Januari lalu, telah menjelajah dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) setakat ini iaitu Kuala Linggi (Parlimen Masjid Tanah) dan Pengkalan Batu (Parlimen Hang Tuah Jaya).
Selepas ini, WRUR akan diadakan serentak di dua DUN iaitu Sungai Udang dan Lendu bermula 18 hingga 31 Mei depan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.