Windmill Pink Market: ‘Port’ santai Sungai Melaka
BUKIT BARU 9 Mei – Sebaik sampai, pengunjung pasti terpegun dengan pemandangan lampu berwarna-warni, sekali gus menaikkan lagi ‘mood’ untuk bersantai pada waktu malam di Windmill Pink Market di Pejabat Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Dataran Pengkalan Rama, di sini.
Khemah bagi peniaga yang menggunakan warna merah jambu atau ‘pink’ juga pastinya menyejukkan mata yang memandang selain menjadi tarikan buat kaum hawa untuk singgah.
Pengunjung, Muhammad Riduan Mohd Faisal, 34, berkata, Windmill Pink Market adalah tarikan terbaharu yang diyakini akan menjadi lokasi tumpuan ramai selepas ini keranan menawarkan suasana malam yang istimewa berbanding lokasi lain pernah dikunjunginya.
Pemuda dari Durian Tunggal ini berkata, dia mengetahui mengenai lokasi santai itu daripada rakan dan terus berkunjung ke sana untuk merasai sendiri suasana baharu ditawarkan.
“Seorang daripada rakan saya berkongsi cerita mengenai tempat ini dan katanya ada makanan sedap dijual jadi kami bersepakat untuk datang ke sini dan merasai sendiri.
“Kunjungan kali pertama kami ke sini tidak mengecewakan memang menarik kerana sekitar dihias lampu berwarna-warni malah suasan di tebing Sungai Melaka ini juga mendamaikan.
“Menariknya juga makanan di sini tidak menghampakan dan boleh katakan sesuai untuk dikunjungi pelbagai peringkat usia,” katanya ketika ditemui di Windmill Pink Market.
Menurutnya juga, selain dapat menggalakkan kedatangan pelancong dari luar bersempena dengan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) lokasi itu secara tidak langsung membantu ekonomi peniaga kecil.
“Lokasinya di tebing Sungai Melaka amat strategik dan mampu menggamit lebih ramai pengunjung dan pelancong luar,” katanya.
Seorang lagi pengunjung Hasmah Zakaria, 35, memuji inisiatif PPSPM dan Kerajaan Negeir yang sentiasa berfikir di luar kotak dengan memperkenalkan produk pelancongan baharu.
“Tempat ini amat menarik untuk dikunjungi kerana ia berkonsep santai dan sesuai juga kalau mahu beriadah seisi keluarga.
“Selain terdapat pelbagai jualan makanan, ada juga aktiviti untuk kanak-kanak dan mereka yang ingin gunting rambut juga boleh buat di sini, jadi senang kata di satu tempat semua ada,” katanya yang datang dari Sungai Udang.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.