WI mahu lebih ramai penyertaan bukan Melayu
KESIDANG 20 April – Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI) negeri mahu lebih ramai penyertaan dalam kalangan bukan Melayu sebagai ahli pertubuhan itu.
EXCO Wanita negeri, Datuk Kalsom Noordin berkata, setakat ini, cuma dua peratus daripada keseluruhan bilangan lebih 400 ahli di lapan cawangannya terdiri daripada bukan Melayu.
Menurutnya, kebanyakan mereka mewakili PPP (WI) cawangan Ayer Keroh dan Bukit Beruang.
“Peratusan ahli bukan Melayu masih sedikit, mungkin ada dalam kalangan mereka yang tidak mengetahui PPP (WI) ini terbuka penyertaanya kepada semua.
“Mungkin juga mereka salah faham dengan perkataan WI itu yang menganggap ia adalah Wanita Islam, sedangkan perkataan itu sebenarnya Woman Institution,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas merasmikan Majlis Tadarus dan Khatam Al-Quran anjuran PPP (WI) Hang Tuah Jaya di Masjid Nur As-As’adah Pengkalan Batu.
Turut hadir pada majlis itu Setiausaha Kehormat PPP (WI) negeri, Zainon Mohd Ali dan Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan JAIM, Ustaz Manap Mohamad.
Kalsom yang juga Pengerusi PPP (WI) Hang Tuah Jaya berkata, pentingnya penglibatan bukan Melayu dalam pertubuhan itu seiring dengan peranannya yang aktif di bawah kepimpinan Toh Puan Asmah Abd Rahman dalam membantu masyarakat berbilang kaum yang memerlukan bantuan kebajikan.
“Pada hemat saya, kita perlu libatkan penyertaan dari kalangan bukan Melayu juga dan pada masa yang sama, kita mahu lebih ramai golongan muda menyertai PPP WI dari semasa ke semasa” katanya.
PPP (WI) Hang Tuah Jaya mengandungi cawangan daerah antaranya Peringgit, Ayer Molek, Ayer Keroh, Taman Sri Tambak, Bukit Beruang, Pengkalan Minyak, Bukit Lintang dan Tambak Paya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.