WEF: Transformasi digital inklusif bakal pacu ekonomi digital Malaysia yang berdaya saing – Tengku Zafrul

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

KUALA LUMPUR, 25 Mei – Malaysia memerlukan transformasi digital yang inklusif untuk mencapai ekonomi digital yang berdaya saing dan progresif, seiring dengan negara maju yang lain, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata pendapat itu dan idea mengenai masa depan komuniti digital ASEAN telah dikongsi sewaktu sesi perbincangan ‘A Digital ASEAN for All’ bersama beberapa tokoh korporat serta rakan sejawat dari negara Asia Tenggara pada hari pertama Forum Ekonomi Dunia (WEF).

Tengku Zafrul turut berkongsi kejayaan Malaysia mengenai inisiatif dalam merapatkan jurang pembiayaan untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan juga ekonomi tidak formal.

“Insya-Allah, dengan inisiatif kerajaan seperti pelaksanaan pelan hala tuju pendigitalan PMKS, negara kita akan terus berkembang maju melalui peningkatan sumbangan komuniti perniagaan ini kepada ekonomi negara,” katanya dalam hantaran terbaharunya di laman sosial Facebook.

Tengku Zafrul berkata para peserta yang lain turut berkongsi pengalaman serta usaha mereka di negara masing-masing.

Beliau berkata topik utama yang dibincangkan sewaktu sesi perbincangan itu ialah bagaimana masa depan digital rantau ini boleh dibentuk untuk memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.

Katanya semasa dunia dilanda wabak COVID-19, pengguna Internet meningkat sebanyak lebih 10 peratus dalam masa satu tahun sahaja.

Ekonomi digital rantau ASEAN kini bernilai lebih US$100 bilion, katanya.

Sementara itu, dalam hantaran berasingan, Menteri Kewangan itu berkata hari kedua WEF telah dimulakan dengan sesi perbincangan ‘Building Resilience: Financing Local Economies’ bersama beberapa wakil korporat global.

Perbincangan meja bulat itu merangkumi cara-cara bagaimana kerajaan boleh menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan usahawan sosial bagi mengembangkan ekonomi setempat.

“Saya berkongsi pandangan mengenai usaha kerajaan Malaysia yang inovatif bagi menyokong PKS dan perusahaan sosial, termasuk pembiayaan kuasi-ekuiti dan moratorium sehingga 12 bulan bagi beberapa langkah pembiayaan melalui pakej SemarakNiaga Keluarga Malaysia yang bernilai RM40 bilion di bawah Bajet 2022.

“Saya ada menimba beberapa idea baharu yang insya-Allah akan dikongsikan bersama warga kerja MOF bagi Bajet 2023,” katanya.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

849
Kongsi :
Previous post 4,000 pengunjung meriahkan Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Taboh Naning
Next post Bangunan kilang jadi petunjuk arah pendatang asing masuk ke Malaysia
Ubah saiz-+=