
WASPADA TAKTIK PENIPUAN GUNA TEKNOLOGI AI
Timbalan Ketua Pengarah Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) Ahmad Sazilee Abdul Khairi berkata perkembangan teknologi AI yang sangat drastik diambil kesempatan oleh ‘scammer’ atau penipu untuk mengaut keuntungan berlipat ganda dengan menggunakan pelbagai taktik terkini.
Beliau berkata amat penting masyarakat sentiasa cakna dan mengikuti perkembangan semasa serta berhati-hati dengan sindiket penipuan yang menggunakan kandungan dihasilkan AI untuk memperdaya orang ramai.
“Modus operandi jenayah terbabit dilakukan selari dengan kemajuan teknologi terkini dan kini, penjenayah siber sudah mula menggunakan teknologi AI untuk memanipulasi mangsa.
“Mereka boleh melakukan panggilan video dengan meniru suara dan wajah individu yang dikenali mangsa sehingga percaya untuk membuat penghantaran wang. (Disebabkan itu) masyarakat kena tahu perkembangan semasa bagi mengelak ditipu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Anti Financial Crime Centre bersama Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh dan Majlis Perbandaran Temerloh di sini hari ini. Turut hadir, pemangku Timbalan Ketua Polis Pahang Datuk Mohd Yusri Othman.
Ahmad Sazilee Berkata pada masa ini, empat agensi di bawah Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) sedang berusaha menambah baik sistem bagi menghalang jenayah siber ini berlaku dan turut menasihati mangsa segera menghubungi NSRC untuk membolehkan wang yang diperdaya itu dibekukan.
Sementara itu, Mohd Yusri berkata jenayah penipuan siber tidak boleh dipandang ringan kerana berisiko mendedahkan mangsa kepada gejala membunuh diri memandangkan mereka biasanya menghadapi masalah kewangan akibat penipuan itu.
“Mangsa yang kerugian wang tunai akibat ditipu akan menghadapi tekanan emosi sehingga menjejaskan kualiti hidupnya. Individu terlibat kemudiannya mungkin bertindak meminggirkan diri sebelum mengambil keputusan membunuh diri akibat malu,” katanya.
Beliau berkata kejadian seperti itu tidak mustahil boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira jantina, latar belakang, usia, justeru masyarakat tidak boleh leka dengan taktik penipuan jenayah siber yang sentiasa mengikut trend semasa. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.