Wartawan tak sangka lapor kes bunuh bekas guru sendiri
TANGGA BATU 5 Julai – “Bila dengar nama mangsa saya menggigil, seakan tidak sangka warga emas yang maut itu adalah bekas guru saya sendiri”.
Itu kata wartawan Mohamad Fazrul Abdul Majid yang membuat liputan kes bunuh membabitkan seorang warga emas di Kampung Paya Luboh, di sini.
Mangsa, Rozizah Md Dom, 63, merupakan seorang pesara guru dan pernah berkhidmat di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Rambai.
Menurut Mohamad Fazrul, dia hanya mengetahui mangsa adalah gurunya ketika sidang media Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah.
“Saya hanya turun ke lokasi kejadian untuk membuat liputan sebaik mengetahui ada kes bunuh dan difahamkan mangsa adalah pesara guru.
“Sama sekali tidak menyangka mangsa merupakan guru yang pernah mengajar saya subjek Bahasa Melayu ketika di tingkatan empat,” katanya.
Terdahulu, Melaka Hari Ini melaporkan seorang anak tergamak menikam leher kiri dan kanan ibunya dalam kejadian jam 3.05 petang tadi.
Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata, ketika tangkapan suspek yang juga anak sulung mangsa didakwa menikam ibunya selepas mendengar ‘bisikan’ mengatakan ibunya menyembah berhala.
Suspek yang mempunyai sejarah rawatan psikiatri di Hospital Melaka dan mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah kini ditahan dan polis akan mendapatkan permohonan reman di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, esok.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.