
Wartawan Melaka Hari Ini antara penerima pingat kebesaran Melaka
AYER KEROH 27 Ogos – Pengamal media di Melaka antara yang tersenarai menerima pingat pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka Sempena Sambutan Hari Jadi Yang di-Pertua Negeri ke-73 Tahun 2022, hari ini.
Wartawan Melaka Hari Ini Norafiqah Jamal menjadi antara penerima pada istiadat itu yang dianugerahkan Pingat Bakti Masyarakat (P.B.M.).
Secara keseluruhan, seramai 52 individu telah menerima pingat sama disampaikan Yang di-Pertua negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam.
Pingat itu mula dikurniakan pada 1971 kepada orang perseorangan yang telah memberi perkhidmatan dan sumbangan yang baik kepada masyarakat dalam pelbagai bidang.

Sementara itu, Ketua Biro Pertubuhan Berita Nasional (Bernama) Melaka, Mohd Fakri Awang Lah pula dianugerahkan Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K).
Turut menerima P.J.K ialah wartawan penyiaran Media Prima Berhad, Yusri Sahat, untuk melengkapkan keseluruhan 61 penerima pingat sama pada istiadat yang diadakan di Dewan Seri Negeri.

P.J.K yang dikurniakan pada tahun 1962 diberikan kepada orang perseorangan yang berbakti dan berkhidmat dengan dedikasi dan bertanggungjawab pada Negeri Melaka.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.