
WARNA-WARNI MALAM 7 LIKUR SUNGAI RAMBAI
Oleh: Fitri Shareena Abdul Rahim
SUNGAI RAMBAI 23 Mac – Hiasan pelita dan lampu berwarna-warni, selain semangat muafakat penduduk mengacau dodol dan membuat kuih tradisional menghidupkan suasana Malam 7 Likur di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai menjelang Aidilfitri tahun ini.
Kemeriahan suasana itu dapat dilihat menerusi penganjuran Festival Kuih Tradisional Aidilfitri, Pelita Raya dan Bubur Lambuk Peringkat Negeri Melaka yang diadakan di Dataran Riverside Sungai Rambai, di sini, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sunhai Rambai Siti Faizah Abd Azis berkata, program tersebut merupakan acara tahunan peringkat Negeri Melaka, di mana DUN berkenaan telah dipertanggungjawabkan untuk menghidupkan suasana setiap kali menjelang Syawal.
Istimewanya tahun ini, beliau berkata, sambutan yang diterima daripada masyarakat amat menggalakkan apabila pelbagai pertandingan yang dianjurkan mendapat sambutan hangat.
“Antara pertandingan yang diadakan adalah seperti hiasan pelita raya, memasak kuih tradisional dan bubur lambuk serta acara kemuncaknya adalah mengacau dodol.
“Alhamdulillah, mengambil contoh pertandingan kacau dodol, ia mendapat sambutan luar biasa apabila disertai 20 kumpulan, selain ia turut dimeriahkan dengan kehadiran penduduk sekitar.
“Malah, lebih unik apabila peserta turut mengenakan busana tradisional bagi memeriahkan lagi program ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada program berkenaan, semalam.

Majlis perasmian penutup program berkenaan turut dihadiri Pegawai Daerah Jasin Datuk Rahizi Ranom; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) Mohd Shaiful Hizam Johan dan lain-lain kenamaan.
Siti Faizah yang juga Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri berkata, menerusi program tersebut juga ia dapat menjadi medan dalam memupuk kebersamaan dalam kalangan penduduk serta pemimpin masyarakat di kawasan itu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.