WARISKAN ADAT, BUDAYA MELAYU MELAKA KEPADA ORANG MUDA
AYER KEROH 12 November – Adat dan budaya Melayu Melaka perlu diadaptasikan secara meluas bagi memastikan ia boleh diwarisi kepada generasi muda masa kini.
Exco Pelancongan Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, budaya dan adat itu melambangkan identiti Melaka yang diwarisi sejak dahulu lagi.
“Justeru kita mengadakan Simposium Warisan Budaya Melayu Melaka 2024 bagi fasa pertama supaya adat resam Melayu di Melaka ini tidak ditelan zaman.
“Budaya dan adat ini mesti dipertahankan dan diharap selepas program ini ada lagi program susulan iaitu fasa berikutnya agar ia tidak berakhir di sini sahaja.
“Matlamat kita untuk memberi kesedaran kepada masyarakat Melayu bahawa warisan budaya bangsa ini akan terus berkembang selari dengan perkembangan semasa dunia hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas merasmikan Simposium Warisan Budaya Melayu Melaka 2024, di sebuah hotel di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Zaidi Attan; Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Erne Hamsah dan lain-lain kenamaan.
Simposium berkenaan merupakan anjuran PERZIM dan Melaka World Heritage Sdn. Bhd. dengan kerjasama Persatuan Pengamal Adat Melayu Melaka dan Persatuan Ketua-Ketua Kampung Sidang Negeri Melaka.
Terdahulu dalam ucapannya Abdul Razak berharap simposium itu menjadik titik permulaan dalam memartabatkan budaya dan adat Melayu Melaka.
“Tanggungjawab Tok Sidang ini sangat besar, mereka juga perlu membantu kerajaan menyampaikan maklumat terutama dasar-dasar kerajaan kepada umum.
“Dengan kehadiran ramai pengamal adat Melayu termasuk Tok Sidang, kita harap matlamat simposium ini dapat dicapai bagi tujuan memupuk, menyemai dan memartabat seni warisan adat serta budaya di Negeri Melaka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.