Sorting by

×

Warisi bakat bapa, masak bubur lambuk

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

BANDARAYA MELAKA 28 Mac – “Saya tidak amalkan petua khusus atau apa-apa skil, tetapi berpegang kepada pesanan ayah agar sentiasa ikhlas dan memperbanyakkan bersedekah,” kata tukang masak bubur lambuk, Yunus Md Diah, 35.

Yunus, berkata, semuanya bermula apabila dia kerap menemani dan membantu bapanya Md Diah Tompang, 59, untuk menyiapkan tempahan bubur lambuk.

Namun kini dia menggalas sepenuhnya tugas itu selepas bapanya mengalami masalah kesihatan berikutan kesukaran untuk mencari pengganti atau individu berminat mewarisi resepi masakan tradisi itu.

Pada awalnya Yunus agak risau jika air tangannya tidak menjadi atau gagal menepati citarasa pelanggan, namun atas sokongan dan nasihat bapanya dia berjaya menyediakan bubur lambuk yang enak.

“Sebelum ini memang ayah yang uruskan, saya hanya bantu apa yang patut sahaja tetapi bila keadaan kesihatan tidak mengizinkan dan ramai yang datang untuk tempah bubur lambuk jadi saya cuba untuk tolong.

“Bila ada orang minta tolong saya beranikan diri dan masak seperti apa yang ayah buat, pejam celik-pejam celik sudah empat tahun saya bergerak sendiri dengan bantuan beberapa pembantu,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini.

Menurutnya, menjadi juadah wajib pada bulan Ramadan untuk berkongsi rezeki, pastinya banyak tempahan bubur lambuk yang diterima baik daripada pihak persatuan mahupun syarikat.

“Selalunya bubur lambuk ini saya buat setiap hujung minggu tetapi bila ada tempahan pada hari biasa, saya akan buat. Kebiasaan setiap kali Ramadan tempahan diterima boleh cecah antara 15 hingga 16 periuk besar.

“Bila sudah diberikan kepercayaan, alhamdulillah dan amanah perlu dilaksanakan sebaik mungkin sebab itu saya pegang apa yang ayah pesan,” katanya.

Jelasnya, resepi masakan bubur lambuknya sama sahaja seperti yang lain cuma bezanya ilmu dipelajari itu daripada ayahnya selain tiada santan digunakan.

“Resepi kita sama sahaja cuma tidak menggunakan santan kerana tidak mahu ia cepat basi dan kebiasaan satu periuk besar akan dapat lebih 400 bekas.

“Tidak dinafikan akibat kenaikkan kos barangan ia sedikit sebanyak memberi kesan namun harga yang saya tawarkan masih berpatutan walaupun ada yang kenakan sampai RM800,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

300
Kongsi :
Previous post MPJ terima 30 MyKiosk
Next post Ibu didakwa aniaya anak lelaki hingga cedera
Ubah saiz-+=