Waris Hang Tuah sedia bantu Kerajaan Negeri Melaka
DUYONG 3 Januari – Inisiatif Kerajaan Negeri Melaka yang komited menjalankan kajian berhubung kewujudan Hang Tuah membawa kepada penemuan generasi Ke-11 pahlawan legenda Melayu ketika era pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka itu.
Warisnya Tun Muhammad Amin Tun Ahmad, 48, berkata, usaha yang dijalankan Kerajaan Negeri Melaka adalah satu penghargaan untuknya dan ahli keluarga yang lain kerana menerusi kajian dijalankan itu, sejarah dapat disampaikan secara tepat.
Katanya, meskipun menjadi generasi Ke-11 pahlawan legenda itu, ia merupakan tugas besar buat dirinya untuk bercerita dan berkongsi kisah sebenar hal berkaitan moyangnya yang juga laksamana tersohor di abad Ke-15 dahulu.
“Saya amat berterima kasih kepada Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, yang sentiasa peka dengan sejarah dan selaku waris kepada keturunan Hang Tuah, saya berasa terpanggil untuk bersama-sama mengetengahkan atau memberi informasi sejarah tentang Laksamana Hang Tuah yang sebenar.
“Umum tahu Hang Tuah adalah lagenda Kesultanan Melayu Melaka jadi ia perlu diperjelaskan dengan jelas dan betul kerana ada yang mengaku sebagai waris termasuk dari Sulawesi dan Palembang, Indonesia malah ada juga dari Thailand yang mendakwa mereka adalah waris Hang Tuah namun begitu kita tidak nafikan mungkin ada yang lain kerana Hang Tuah sendiri dapat menguasai 12 bahasa,” katanya.
Tun Muhammad Amin berkata demikian ketika ditemui Melaka Hari Ini selepas bertemu Ab Rauf di Perkampungan Hang Tuah, di sini, hari ini.
Hadir sama Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman dan Timbalannya Datuk Zaidi Attan; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem dan lain-lain kenamaan.
Jelas Tun Muhammad Amin, dirinya akan cuba sebaik yang mungkin membantu dan menerangkan dengan tepat segala penceritaan dan susur galur yang dikongsi oleh datuk dan bapanya kepada masyarakat agar sejarah yang betul dapat diluruskan.
“Cerita mengenai kehebatan Hang Tuah dan salasilah diceritakan secara turun temurun dari datuk hinggalah diturunkan kepada ayah sebelum kepada saya. Apa yang pasti Hang Tuah ini dilahirkan di Bintan, Indonesia malah turut dimakamkan di situ selepas meninggal dunia ketika berusia 83 tahun.
“Justeru itu kami amat mendukung usaha Kerajaan Negeri Melaka dan akan membantu sebaiknya termasuklah mengeluarkan apa tinggalan yang ada dengan kami seperti Sundang, Keris Sula, Meriam Rentak serta Gelang sebagai bukti tinggalan Hang Tuah,” katanya.
Katanya lagi, menerusi perkahwinan dengan isteri pertama iaitu Tun Sundari, Hang Tuah dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Tun Biazid, Tun Syirah dan Tun Daerah atau Sabariah.
Manakala dengan isteri kedua iaitu Tun Ratna pula, Hang Tuah memiliki dua anak iaitu Tun Guna dan Tun Mas Jiwa.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.