Sorting by

×

Waris, balu anggota bomba ‘gugur’ terus dibantu

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

LENDU 23 Mac – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan terus membantu waris ahli dan balu kepada anggota yang gugur ketika melaksanakan tugas.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JBPM, Datuk Ir. Ts. Ahmad Izram Osman berkata, sejumlah RM24,000 telah diperuntukkan bagi membantu 16 keluarga waris bagi zon selatan tanah air pada tahun ini.

Beliau berkata, bantuan yang diagihkan itu adalah hasil kerjasama Persatuan Kebajikan JBPM, Persatuan Isteri dan Pegawai Wanita JBPM (PERISMA) serta beberapa syarikat yang turut sama menyumbang.

“Sumbangan disalurkan ini menerusi program jelajah JBPM bagi membantu waris keluarga anggota kita yang telah meninggal dunia ketika menjalankan tugasan.

“Zon selatan merupakan siri jelajah pertama kita dan memilih Melaka untuk mengagihkan bantuan ini kepada waris keluarga yang bertugas di Melaka, Negeri Sembilan dan Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan Lawatan Kerja Rasmi Ke Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Masjid Tanah, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Menteri Melaka ke-12 merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Timbalan Pengarah JBPM Melaka, Saiful Iswandy R. Hassan; Pengerusi PERISMA; Datin Batiyah Bakar serta tetamu lain.

Menerusi program berkenaan, 16 balu dan waris keluarga telah menerima sumbangan berjumlah RM1,500 seorang merangkumi sumbangan wang tunai dan kit makanan.

Program itu diakhiri dengan majlis berbuka puasa dan solat Maghrib berjemaah di balai berkenaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

232
Kongsi :
Previous post Paramedik Komuniti mampu selamatkan nyawa
Next post Syawal pertama tanpa suami di sisi
Ubah saiz-+=