Warganet puji ‘perang’ petugas HKL urus mangsa kemalangan LRT

Masa Membaca:2 Minit, 44 Saat

KUALA LUMPUR 26 Mei – Insiden dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) bertembung di dalam terowong berhampiran Stesen KLCC ketika negara berdepa cabaran besar peningkatan mendadak kes pandemik COVID-19, nyata menggemparkan seluruh negara.

Paling terkesan, sudah tentulah petugas sektor kesihatan yang terpaksa ‘berperang’ dengan dua krisis besar serentak hingga menyebabkan ada antara mereka tidak dapat berehat dan terpaksa bekerja lebih masa meskipun keletihan.

Dalam satu catatan di Facebook, situasi berdepan kes LRT semasa pandemik telah dikongsikan oleh Pakar Perunding Perubatan Kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL) Datuk Dr Alzamani Mohammad Idrose.

PEGAWAI perubatan dan petugas kesihatan HKL berbincang dan merancang rangka tindakan bagi merawat mangsa kemalangan LRT.

Dalam coretannya, beliau menceritakan bagaimana kesemua petugas di bahagian kecemasan HKL terpaksa bermandi peluh untuk menguruskan puluhan mangsa kemalangan itu yang dibawa ke hospital berkenaan.

Beliau berkata, walaupun berdepan situasi getir, semua petugas yang terlibat tidak pernah merungut, sebaliknya setia memberikan kerjasama yang baik.

“Apabila masuk kerja, saya sedar, perkara pertama adalah untuk memahami situasi. Setelah mendapat semua maklumat, saya mula fikirkan tentang penempatan pesakit-pesakit di setiap zon dan perlu besarkan setiap zon.

“Maka saya membuat taklimat ringkas di zon merah dan zon kuning yang tidak terlibat dengan kes-kes COVID-19.

“Semua petugas syif petang diarahkan untuk tidak pulang dan bersama-sama petugas syif malam menyelesaikan setiap kes.

“Saya tahu, semua petugas syif petang keletihan kerana sudah sampai masa untuk mereka pulang.

“Tetapi mereka sangat tabah dan sabar. Tidak ada satu wajah pun yang memperlihatkan riak wajah yang tidak suka dengan arahan ini, sebaliknya semua nampak bersemangat,” katanya.

PENUMPANG LRT yang cedera dibawa ke HKL menaiki ambulans.

Insiden itu juga membuka mata beliau apabila dapat melihat pengorbanan doktor pakar yang sanggup datang ke hospital dari rumah semata-mata untuk menghulurkan bantuan.

Malah, Pengarah HKL, Datuk Dr Heric Coray dan ketua jabatannya Datuk Dr Mahathar Abd Wahab turut sama membantu memantau situasi dan memudahkan urusan rawatan sepanjang tempoh berkenaan.

“Dengan kekuatan dua syif seramai sekitar 400 orang, pegawai perubatan, penolong pegawai perubatan, jururawat dan pembantu perawatan kesihatan bekerja pantas dan tanpa henti.

“Malah kami juga melihat pegawai perubatan kontrak dan ‘houseman’ yang membantu tanpa mengira lelah setelah seharian bekerja.

“Menjelang jam 12 tengah malam, seramai 67 pesakit sudah pun ada di jabatan kami dan pasukan yang ada bekerja dengan efisyen.

“Respon di tempat kejadian sudah diisytiharkan ‘stand down’ pada jam 11.37 malam,” katanya.

Beliau berkata, menjelang jam 1 pagi kesemua 67 pesakit yang dibawa selesai diperiksa dan tepat jam 1.38 pagi, sesi itu diisytiharkan ‘stand down’, selain pekerja syif petang juga dibenarkan pulang.

Hasil tinjauan di ruangan komen mendapati, rata-rata warga net memuji pengurusan krisis yang efisyen daripada kesemua petugas HKL yang terlibat dalam merawat mangsa yang terlibat dalam insiden berkenaan.

Mereka memuji kesungguhan semua petugas yang cukup profesional dan tenang dalam menangani insiden berkenaan walaupun berdepan situasi sukar sepanjang tempoh pandemik COVID-19.

Malah, ada juga menyifatkan kisah itu cukup layak diangkat menjadi naskah filem atau drama, selain turut mendoakan agar semua petugas kesihatan diberikan rahmat dan sentiasa dilindungi yang Maha Esa.

FOTO yang dikongsikan Dr Alzamani di ruangan Facebooknya ketika berdepan situasi menerima mangsa kemalangan LRT, malam kelmarin.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

552
Kongsi :
Previous post Pekerja ladang maut digilis traktor di Kulai
Next post Wanita ditahan bantu siasatan anak asuhan mati lemas
Ubah saiz-+=