Sorting by

×

Warga SPRM sokong kepimpinan Azam Baki

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

PUTRAJAYA, 9 Jan – Warga kerja Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menyatakan pendirian menyokong kepimpinan Ketua Pesuruhjaya Tan Sri Azam Baki.

Perkara itu dinyatakan dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Datuk Seri Norazlan Mohd Razali dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) Datuk Junipah Wandi.

“Kami mewakili seluruh warga SPRM menyatakan pendirian kami menyokong kepimpinan Ketua Pesuruhjaya Tan Sri Azam Baki.

“Warga SPRM tetap bersatu hati dalam mempertahankan institusi Ketua Pesuruhjaya dan SPRM demi kelangsungan pencegahan rasuah di negara tercinta,” katanya.

Sebelum ini tular di media sosial mengenai dakwaan Azam memiliki kepentingan dan pemilikan saham dalam beberapa syarikat dan pada Rabu lepas, Azam dalam sidang media menafikan tuduhan mempunyai kawalan ke atas banyak syarikat termasuk syarikat konglomerat, serta menyifatkannya sebagai tohmahan yang berniat jahat.

Azam berkata saham-saham itu dibeli melalui pasaran terbuka oleh adiknya yang menggunakan pembiayaannya dan saham-saham syarikat yang dibeli oleh adiknya itu juga tiada kaitan dengan siasatan oleh SPRM.

Dalam sidang media berasingan hari yang sama, Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Tan Sri Abu Zahar Ujang menyatakan LPPR, satu daripada lima badan pemantau bebas SPRM, mendapati tiada sebarang perlakuan jenayah atau percanggahan kepentingan membabitkan Azam dalam urus niaga saham pada 2015.

Semalam (8 Jan), enam anggota LPPR memaklumkan bahawa kenyataan media yang dikeluarkan oleh Abu Zahar pada Rabu berhubung kontroversi melibatkan Azam itu, tidak menggambarkan pandangan sebenar mereka.

Dalam kenyataan yang ditandatangani bersama, mereka berkata kenyataan Abu Zahar dalam sidang media itu, termasuk kenyataan beliau bahawa tiada perbuatan jenayah dilakukan atau berlaku konflik kepentingan dalam kes itu, adalah pandangan peribadi pengerusi LPPR itu semata-mata.

Kenyataan itu ditandatangani oleh Tan Sri Ismail Omar; Datuk Seri Azman Ujang; Datuk Seri Akhbar Satar; Datuk Dr Hamzah Kassim; Datuk David Chua Kok Tee; dan Prof Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff.

Dalam pada itu, ketiga-tiga pengurusan tertinggi SPRM dalam kenyataan hari ini turut menggesa semua pihak menghentikan kemelut tersebut dan membiarkan proses undang-undang berjalan secara adil, telus dan saksama.

“Kami berpendirian bahawa tohmahan dan serangan yang dibuat adalah bermotifkan politik dendam bagi menjatuhkan imej dan kredibiliti SPRM,” menurut kenyataan itu.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

795
Kongsi :
Previous post Sesi sekolah penggal ketiga 2021/2022 bagi Kumpulan A bermula hari ini
Next post Kereta api tidak berhenti di Kuala Gris, KTM gantung tugas kakitangan
Ubah saiz-+=