Warga Singapura tangguh hasrat ke Malaysia, keliru pendaftaran MySejahtara dan polisi insurans perjalanan
Singapura 31 Mac – Meskipun teruja untuk bercuti susulan pembukaan sempadan darat Malaysia-Singapura esok, ada dalam kalangan rakyat republik itu memilih menangguhkan dahulu hasrat mereka berikutan kekeliruan membabitkan pendaftaran aplikasi MySejahtera dan polisi insurans perjalanan.
Memetik laporan Malay Mail, penulis bebas Lim Hui Hui yang merindui suasana di Johor Bahru merancang untuk menyeberang sempadan bersama teman lelakinya pada 1 April iaitu hari pertama sempadan darat kedua-dua negara dibuka.
“Sudah dua tahun saya tidak habiskan masa bersama kawan-kawan tinggal di Johor Bahru, malah saya juga mahu isi petrol kerana harganya murah,” katanya.
Namun perancangan gadis berusia 23 tahun itu terbantut selepas mengalami kesukaran ketika mengisi pendaftaran APLIKASI MySejahtera yang menjadi syarat bagi pengembara luar untuk memasuki Malaysia selain keliru berhubung keperluan untuk mendapatkan perlindungan insurans perjalanan.
Lima lagi rakyat negara itu turut meluahkan perkara sama, mereka risau jika tidak dibenarkan untuk memasuki Malaysia atas dua sebab berkenaan.
Lim berkata, apa yang mengelirukan adalah dia diminta memasukkan alamat di Malaysia ketika melakukan pendaftaran MySejahtera, meskipun tidak ada perancangan untuk tinggal di Johor Bahru.
“Jadi saya letak negeri Johor dan taip alamat di Singapura. Meskipun berjaya melakukan pendaftaran saya risau tindakan itu akan menyebabkan saya dilarang daripada memasuki Malaysia,’ katanya.
Selain itu dia juga berdepan kesukaran untuk mengemaskini status vaksinasi pada aplikasi itu yang dikatakan akan mengambil masa lima hari bekerja sebelum diluluskan.
“Tempoh itu sangat panjang, tak pasti saya buat mengikut cara yang betul atau tidak kerana tidak ada panduan jelas mengenai perkara itu,” katanya.
Sementara itu Suria Hafees, 44, pembantu separuh masa di sebuah agensi pembantu rumah, melakukan perkara sama, iaitu menaip alamat kediaman di Singapura berikutan tidak ada pilihan untuk negara itu.
Dia bersama suami dan anak lelaki berusia 10 tahun bagaimanapun tekad untuk pulang ke Port Dickson, Negeri Sembilan, kerana sudah dua tahun tidak berjumpa dengan orang tuanya.
“Sekarang ini saya risau, jika alamat didaftarkan itu salah, mungkin akan beri kesan terhadap status vaksinasi suami. Tapi saya memang sangat berharap dapat berjumpa dengan ibu, sekarang ini saya hanya boleh tunggu dan lihat sahaja,” katanya.
Seorang lagi rakyat Singapura hanya mahu dikenali sebagai Chong, meluahkan rasa risau tidak dibenarkan memasuki Malaysia jika tidak memiliki perlindungan insurans perjalanan.
Menteri Kesihatan Malaysia Khairy Jamaluddin pada Selasa lalu memaklumkan pelawat jangka pendek daripada luar negara perlu mendapatkan insurans COVID-19 sebelum memasuki Malaysia.
Namun pada Rabu laman twitter Kementerian Kesihatan Malaysia memaparkan infografik memaklumkan pengembara sudah lengkap dos vaksin mahu memasuki negara ini melalui laluan darat tidak perlu mendapatkan perlindungan insurans.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.