Warga emas, OKU tidak boleh ‘walk in’ jika sudah terima janji temu vaksinasi
AYER KEROH 28 Julai – Golongan warga emas dan orang kurang upaya (OKU) tidak perlu bimbang jika terlewat hadir untuk vaksinasi secara ‘walk ini’ atau jumpa terus di Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
Exco Kesihatan, Datuk Rahmad Mariman berkata, ini kerana petugas di PPV akan mengambil nama mereka untuk janji temu suntikan vaksin pada keesokkan harinya.
Katanya, inisiatif vaksinasi secara jumpa terus bertujuan memastikan semua golongan warga emas dan OKU di negeri ini tidak keciciran untuk menerima vaksin.
“Golongan warga emas dan OKU secara ‘walk-in’ ini perlu hadir dalam tempoh bermula jam 8.30 pagi hingga 1 tengah hari dan terhad kepada 50 individu terawal setiap hari.
“Namun, sekiranya ada yang datang lewat atau penerima vaksin yang ke-51, tiada masalah kerana petugas PPV akan mengambil nama, datanglah keesokannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika bersiaran bersama TV1 dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia (SPM) di bangunan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Ayer Molek, di sini hari ini.
Menurut Rahmad, inisiatif pemberian vaksin secara jumpa terus bagi golongan itu dikhaskan bagi individu belum menerima notifikasi janji temu MySejahtera.
Katanya, inisiatif menerusi Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) negeri itu turut memberi keutamaan kepada individu yang tidak membuat pendaftaran menerusi aplikasi itu.
“Justeru, saya mengingatkan warga emas yang telah mendapat notifikasi janji temu MySejahtera tidak boleh hadir secara ‘walk-in’.
“Ini kerana inisiatif itu dikhaskan kepada individu yang belum mendapat janji temu atau belum buat pendaftaran.
“Jangan lepaskan peluang ini, datanglah ke mana-mana PPV di negeri untuk mengambil peluang menerima suntikan vaksin,” katanya.
Setakat ini sebanyak 72 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) telah dibuka di negeri ini membabitkan 15 PPV awam, tiga PPV hospital awam (SPPV), 46 PPV General Practitioner (PPVGP), empat PPV Hospital Swasta dan satu PPV swasta iaitu Encore.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.