WARGA EMAS OKU HILANG SELEPAS KELUAR RUMAH DI REMBAU
Ketua Polis Daerah Rembau Supt Shaik Abd Kadar Shaik Mohamed berkata Mohd Mahat Said, 78, yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) fizikal dilaporkan hilang setelah disedari oleh anak perempuannya kira-kira 5 petang.
“Mengikut laporan, lelaki terbabit keluar rumah kira-kira 10 pagi dan hingga 5 petang dia masih tidak pulang. Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan membabitkan 14 anggota termasuk polis, bomba dan dibantu penduduk kampung.
“Pencarian bermula sejak 5.30 petang semalam turut membabitkan kawasan kebun dan belukar berhampiran kediamannya berikutan pasukan SAR jumpa kain pelekat yang dipercayai dipakai oleh orang hilang ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata bagaimanapun, pencarian terpaksa dihentikan sementara pada sebelah malam bagi menunggu bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan atas faktor cuaca yang gelap dan isu keselamatan kerana kawasan sekitar mempunyai belukar yang begitu tebal.
Operasi pencarian kini diteruskan pagi tadi dengan khidmat empat ekor anjing pengesan daripada Unit K9 PDRM dan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.