Sorting by

×

Warga emas, OKU dan ibu mengandung antara terjejas, lif tidak berfungsi

Masa Membaca:2 Minit, 18 Saat

AYER KEROH 23 November – Lebih seminggu bekalan elektrik utama di Pangsapuri Sutera Wangi, Batu Berendam dipotong mengakibatkan kira-kira 2,000 penduduk terjejas dalam menjalankan aktiviti harian.

Pengerusi Pangsapuri Sutera Wangi, Mazlan Mahmud berkata penduduk terpaksa menggunakan tangga untuk turun dan naik ke kediaman masing-masing selepas Tenaga Nasional Berhad (TNB) memotong bekalan elektrik pada 14 November lalu ekoran pihak pengurusan pangsapuri didakwa gagal menjelaskan tunggakan bil berjumlah lebih RM380,000.

Katanya, susulan daripada pemotongan itu, lif pangsapuri tujuh tingkat tersebut tidak dapat beroperasi dan hanya menggunakan alat bantuan generator yang menggunakan bahan bakar diesel untuk bergerak pada waktu puncak.

“Disebabkan pemotongan elektrik utama, kita di sini hanya dapat guna lif pada waktu puncak sahaja, iaitu 6 pagi hingga 8.30 pagi dan 6 petang hingga 9 sahaja,” katanya.

Menurut seorang penduduk orang kelainan upaya (OKU), R.Parthiban,44, berkata dia yang kudung kaki sebelah kiri melalui hari sukar dan mengambil masa hampir 45 minit untuk turun dari tingkat enam rumahnya menggunakan tangga.

“Sudahlah keadaan saya begini, kadang saya terpaksa mengensot untuk turun tangga kerana tak tahan berdiri lama menggunakan tongkat.

“Ini pula bantuan kebajikan telah dipotong, beberapa hari ini saya terpaksa turun naik tangga nak uruskan permohonan baharu dan ia sangat menyeksakan,”katanya yang tinggal bersama anak angkatnya dan bekerja sendiri.

Whatsapp Image 2023 11 23 At 15.33.40 199f52c7
MAZLAN menunjukkan jumlah tunggakan bil elektrik di Pangsapuri Sutera Wangi (kiri) dan notis pemotongan elektrik utama di pangsapuri terbabit sehingga menjejaskan aktiviti harian kira-kira 2,000 penduduk di pangsapuri terbabit.

Nada sama turut disuarakan oleh seorang penduduk OKU, Nor Azlan Ali, berkata sejak lif di pangsapuri itu tidak berfungsi, isterinya yang mengandung lapan bulan pernah tergelincir ketika mendaki tangga untuk pulang ke rumah mereka di tingkat enam.

“Akibat insiden itu, isteri saya terpaksa ditahan wad namun bersyukur bayi dalam kandungan selamat, namun apa yang membimbangkan adalah sampai bila kami harus menghadapi situasi getir begini?.

“Tidak adil bagi kami yang tidak culas membayar kos penyelenggaraan namun terpaksa berhadapan situasi yang memeritkan ini,” katanya.

Dalam pada itu, seorang warga emas, Hamidah Jamaludin, 60 turut meluahkan kegusarannya apabila dia yang tinggal seorang diri di tingkat tujuh dan sedang menjalani dialisis harian terpaksa naik turut tangga yang terlalu tinggi.

“Saya ini sedang jalani dialisis sendiri di rumah dengan pemantauan dari hospital, secara kebiasaan, kalau ada lif, saya boleh naik turun untuk ambil air kegunaan dialisis sendiri apabila pihak hospital hantar bekalan air tersebut.

“Namun dalam keadaan lif tidak berfungsi, bagaimana saya nak turun naik? pihak hospital yang hantar air dialisis pula bagaimana nk hantar kepada saya?.

“Saya rayu kepada pihak berkaitan untuk bantulah kami di sini, penduduk di sini bukan semuanya sihat dan ada kudrat yang sihat,” katanya ketika ditemui di pangsapuri terbabit.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1016
Kongsi :
Previous post Ajak orang muda teroka perniagaan digital
Next post Melaka lakar sejarah himpun lebih 13,000 calon SPM, STPM berdiskusi
Ubah saiz-+=