Warga emas maut selepas 10 jam bertarung nyawa

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

TANJUNG BIDARA 20 Mac – Seorang lelaki warga emas meninggal dunia selepas 10 jam bertarung nyawa akibat parah di kepala selepas motosikal ditungganginya bertembung dengan motosikal ditunggangi remaja lelaki di Jalan Kampung Londang, di sini.

Allahyarham Amran Rabain, 68, pemegang kad Pemastautin Tetap meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Melaka pada jam 10.40 malam tadi selepas terbabit dalam kemalangan dengan Muhamad Daniel Faris Shamsudin, 21.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, dalam kejadian jam 12.40 tengah hari semalam, Amran yang menunggang motosikal Modenas Kriss dalam perjalanan dari Masjid Tanah ke kediamannya di Taman Bidara Permai, Tanjung Bidara.

“Muhamad Daniel yang menunggang Yamaha Y15 datang dari arah bertentangan, dipercayai bertembung dengan mangsa di tengah laluan yang ada garisan berkembar.

“Kemalangan berlaku di tengah laluan dua lorong dan dua hala dalam keadaan cuaca baik yang mengakibatkan kedua-dua penunggang tercampak beberapa meter,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, mereka yang cedera di kepala dan badan dibawa ke Hospital Alor Gajah tetapi Amran meninggal dunia akibat parah di kepala.

Muhamad Daniel yang tinggal di Kampung Solok Tulang Daing, di sini dirawat di zon kuning dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis menasihati pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati serta mematuhi peraturan jalan raya.

Arshad berkata, kemalangan jalan raya boleh dielakkan jika pengguna jalan raya mempraktikan sikap bertimbang rasa dan
mematuhi had laju ditetapkan.

Sehubungan itu beliau meminta saksi kejadian supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah dengan menelefon 06-5562222 untuk membantu siasatan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1391
Kongsi :
Previous post Penganggur jangan memilih kerja
Next post Hab Keusahawanan Morten Walk bakal pacu ekonomi Melaka
Ubah saiz-+=