Warga emas maut kemalangan di Jalan Hutan Simpan
LENDU 11 Januari – Seorang warga emas maut dalam kemalangan membabitkan dua kereta dan sebuah lori di Jalan Hutan Simpan, Masjid Tanah, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi tadi, mangsa Yahya Mohd Talip, 69, memandu kereta Proton Saga meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di seluruh anggota badan.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa sedang dalam perjalanan dari arah Sungai Udang ke Pengkalan Balak.
Katanya, ketika di lokasi, kereta dipandu mangsa diekori rapat sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu lelaki berusia 31 tahun yang kemudiannya telah melanggar belakang kereta mangsa.
“Akibat pelanggaran itu, kereta mangsa telah memasuki laluan bertentangan dan dirempuh sebuah lori jenis Hino berwarna putih dari arah depan.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat,” katanya.
Menurut Arshad, ketiga-tiga kenderaan telah dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk pemeriksaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.