Sorting by

×

WARGA EMAS MAUT DILANGGAR LORI KETIKA LINTAS JALAN

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

TABOH NANING 29 Mac – Lelaki warga emas maut dilanggar sebuah lori ketika sedang melintas jalan di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) Simpang Ampat, dekat sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.25 pagi, mangsa, Halim Mustaffa, 66, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Alor Gajah Deputi Superintendan Azrul Mohamed berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa cuba melintas jalan dari Pasar Awam Simpang Ampat menuju ke rumahnya di Batu 19 1/2.

Jelasnya, pada waktu itu, lori dipandu lelaki berusia 33 tahun dari arah Batu Berendam menuju ke Lebuhraya Utara Selatan sedang meneruskan perjalanan sewaktu lampu isyarat hijau, namun gagal mengelak mangsa.

“Ketika kejadian, pemandu lori dipercayai cuba mengelak, namun kenderaan tersebut terkena mangsa pada bahagian sisi kanan.

“Akibat kemalangan itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan Pol 61 telah diserahkan kepada pihak Forensik Hospital Alor Gajah bagi tujuan bedah siasat,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih diteruskan dan pihaknya masih mengesan saksi bebas atau kamera papan pemuka yang merakam kejadian tersebut.

Katanya, kenderaan terlibat dalam kemalangan itu telah ditahan dan dibawa ke Puspakom untuk pemeriksaan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2662
Kongsi :
Previous post MANTAI AIDILFITRI DUYONG MERIAH, PELBAGAI BARANGAN DIJUAL MURAH
Next post SEMARAK SYAWAL FAMA MELAKA SASAR NILAI JUALAN RM250,000