Warga emas lebih 80 tahun ‘steady’ terima suntikan vaksin

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

BUKIT KATIL 19 April. – “Alhamdulillah saya selesai disuntik dan tiada rasa apa-apa pun.”

Demikian reaksi seorang warga emas, Abdul Aziz Abu Hassan, 86, yang menerima suntikan vaksin dos pertama dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Fasa 2 yang bermula hari ini.

Abdul Aziz yang merupakan bekas kerani besar Pejabat Tanah dan Galian Melaka berkata, tiada apa yang perlu ditakutkan orang ramai mengenai pengambilan vaksin berkenaan.

Sebaliknya, dia menganggap pengambilan vaksin itu penting ke arah usaha kerajaan memerangi pandemik berkenaan sekali gus mengembalikan kehidupan masyarakat seperti sedia kala.

 

ABD Aziz ceria selepas menerima suntikan vaksin dos pertama pada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Daerah Melaka Tengah di PPV Dewan Tun Ali, Bukit Katil. Foto: MR. Azli

“Kenapa perlu takut (vaksin)? Tujuan kita ambil adalah untuk kesihatan dan kebaikan kita semua, jadi kenapa kita nak takut?

“Mudah-mudahan dengan pengambilan vaksin ini kita dapat jalani kehidupan seperti dahulu, nak sembahyang jemaah di masjid pun senang,” katanya.

AH Soon menunjukkan dos pertama yang diterimanya melalui aplikasi MySejahtera pada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Daerah Melaka Tengah di PPV Dewan Tun Ali, Bukit Katil. Foto: MR. Azli

Turut senada ialah seorang pesara polis berusia 84 tahun, Yun Ah Soon yang selesai mendapatkan suntikan vaksin dos pertama di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Tun Ali, di sini, hari ini.

Ah Soon yang menetap di Taman Bukit Cheng meminta orang ramai agar segera mendaftar sebagai penerima vaksin melalui aplikasi MySejahtera demi kebaikan bersama.

“Saya minta semua kawan-kawan, jangan takut. Saya sudah disuntik dan semuanya OK, tiada rasa apa-apa.

“Sedikit sakit pun tak ada dan sekarang saya lebih senang hati apabila sudah divaksin kerana mungkin saya tidak akan dijangkiti COVID-19 lagi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

543
Kongsi :
Previous post Melaka sasar 70 peratus penduduknya divaksin menjelang Disember 2021
Next post Tiada pilihan, pembeli akur harga ayam naik
Ubah saiz-+=