Warga emas didakwa lakukan persetubuhan luar tabii dengan kucing
JOHOR BAHRU, 25 April – Seorang lelaki warga emas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii dengan seekor kucing.
Bagaimanapun, hukuman ke atas Janting Keling, 63, belum diputuskan memandangkan pihak pendakwaan memohon tarikh sebutan untuk serahan dokumen pada 25 Mei ini.
Janting didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii iaitu dengan seekor kucing sehingga menyebabkan kucing itu mati.
Warga emas itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di kawasan taman permainan di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai pada 4.30 pagi 16 April lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 377 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya S.Thiviya menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin serta perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran.
Janting yang tidak diwakili peguam bagaimanapun memohon jumlah jaminan dikurangkan memandangkan dia tidak bekerja.
Dia juga mendakwa berasal dari Sarawak dan baru datang ke Johor dan tinggal bersama anaknya di sini.
Hakim Fatimah Zahari kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Mei depan untuk serahan dokumen.- BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.