Warga emas ceria huni rumah baharu
PANTAI KUNDOR 26 April. – “Alhamdulillah, saya sudah ada rumah baharu yang lebih kemas dan cantik berbanding rumah yang terbakar dahulu, tetapi saya amat sayang rumah lama itu kerana ia dibina oleh arwah suami.
“Terima kasih kepada semua pihak yang membantu membina rumah ini, hanya tuhan membalas budi baik semua,” kata Fatimah Othman, 82, dari Kampung Pantai Kundor, Tanjung Kling dekat sini, yang kehilangan kediaman dalam kebakaran pada 25 Januari lalu.
Dia mula menghuni rumah baharu itu sebulan lalu yang dibina dengan kos RM80,000 hasil sumbangan pelbagai pihak termasuk anaknya, Ismail Bedul, 50, yang bekerja sebagai kontraktor.
Sumbangan diterima daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan sebanyak RM10,000, Pejabat Daerah Melaka Tengah (RM3,000) dan Syarikat Air Melaka Berhad (RM5,000).
Fatimah berkata, rumah baharu yang dibina kira-kira 100 meter dari rumah yang musnah itu memberikan keselesaan kepadanya dan dua cucu serta dua cicit yang tinggal bersamanya.
“Memanglah rumah lama lebih saya sayang tetapi apakan daya, semuanya sudah menjadi arang,” katanya lagi.
Dia ditemui ketika menerima sumbangan RM5,000 daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) di rumahnya hari ini yang disampaikan Nor Azman kepada Ismail.
Turut hadir, Ketua Unit Naziran Zakat MAIM, Muhammad Dino Md Delan dan Pegawai Penyiasat MAIM, Izzat Shafiq Rosli.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.