
WARGA EMAS BERSYUKUR RUMAH BERWAJAH BAHARU AIDILFITRI TAHUN INI
PENGKALAN BATU 22 Februari – Sambutan 1 Syawal nanti pasti lebih meriah buat dua warga emas di Kampung Pasir Puteh Bachang, di sini, apabila kediaman usang yang menjadi tempat berteduh sejak sekian lama bakal berwajah baharu.
Kediaman berkenaan terpilih untuk menjalani proses baik pulih menerusi Program Melaka Rumahku (PMR) yang dikendalikan oleh Lembaga Perumahan Melaka (LPM).
Jasmah Mat Aris 72, ketika ditemui Melaka Hari Ini berkongsi kegembiraan selepas menerima kunjungan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin, xco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu Datuk Kalsom Noordin dan Pengarah Eksekutif LPM, Mohd Salleh Hamidom, bagi memaklumkan berita gembira itu.
“Sejak 40 tahun lalu dari muda sampai sekarang rumah usang ini menjadi tempat saya berteduh, terima kasih kepada LPM kerana membaik pulih rumah ini.
“Bahagian rumah banyak sudah rosak terutamanya bumbung yang bocor, jika hujan saya terpaksa guna baldi untuk tadah air jika tidak bahagian dalam akan basah.
“Jadi Aidilfitri nanti bolehlah beraya bersama anak-anak, suami sudah tiada (meninggal dunia) pada tahun lepas,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pasir Puteh, Bachang, semalam.

Sementara itu Zainal Yahaya, 69, berkata, kejadian sailing roboh sebelum ini berikutan struktur rumah diserang anai-anai menyebabkan dia berasa risau terhadap keselamatan diri dan Ahli keluarga yang lain.
Zainal berkata, meskipun rumah didiami agak usang namun anak bersama cucu kerap pulang untuk menziarahinya.
“Jadi apabila Kerajaan Negeri dan LPM membantu saya bersyukur sangat, gembira tahun ini boleh beraya dengan rumah yang lebih selesa dan cantik,” katanya.
Ziarah baik pulih kediaman adalah sebahagian daripada program disusun untuk memeriahkan program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.