Warga emas, anak sahut cabaran teroka Pulau Besar

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

PULAU BESAR 11 Mac – Walaupun sudah memasuki usia emas, ia bukan penghalang bagi warga emas Noriyah Abu, 62 menyertai Pulau Besar Fun Run 2023 bersama anak-anaknya.

Lebih membanggakan Noriyah berjaya menghabiskan larian sejauh lima kilometer pada program yang memasuki edisi kedua itu.

“Alhamdulillah saya dapat selesaikan larian ini sehingga penamat walaupun usia saya tidak seperti peserta lain yang lebih muda.

“Mungkin berkat saya selalu berjalan kaki, selain bekerja sebagai penoreh getah sebelum ini membuatkan ia mudah untuk saya,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Sementara itu, anaknya, Intan Nasuha Jaafar, 31, berkata, mereka menyertai program itu bagi menguji ketahanan fizikal ibunya yang bakal mengerjakan ibadah haji tahun ini.

Mereka yang berasal dari Muar, Johor berkata, persediaan awal itu diambil bagi membantu ibunya menyempurnakan rukun Islam itu dengan sempurna.

“Ini merupakan persediaan awal untuk ibu agar sentiasa cergas bagi menunaikan ibadah haji kerana dalam ibadah itu ada beberapa rukun seperti tawaf dan sebagainya memerlukan tenaga yang mencukupi.

“Ini pengalaman pertama kami sekeluarga menjejakkan kaki ke Pulau Besar yang mana bagi kami pusat pelancongan ini begitu menarik dan berpotensi untuk dibangunkan pelbagai lagi tarikan lain selepas ini,” katanya.

Berkongsi pengalaman pertama di pulau itu, Nur Alya Amirah Khairul, 19, berkata pulau berkenaan wajar menawarkan pelbagai aktiviti lain yang lebih menarik bagi menarik kehadiran pengunjung.

Dia yang berasal dari Bukit Baru berkata, penganjuran pelbagai aktiviti ‘outdoor’ seperti aktiviti lasak, berkayak dan sebagainya berupaya memberi nilai tambah kepada pembangunan pulau yang digelar pulau keramat itu.

“Program seperti ini wajar diteruskan ditambah pelbagai aktiviti lain bagi memach pelancongan di Pulau Besar,” katanya.

Pulau Besar Fun Run 2023 merupakan acara tahunan anjuran Kelab Sukan dan Rekreasi REDTMA bersama Majlis Pembangunan Pulau-Pulau Melaka (MPPM).

Ia disertai seramai 120 peserta dari seluruh negara membabitkan acara larian sejauh lima kilometer mengelilingi pulau peranginan tersebut.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1806
Kongsi :
Previous post Tarikan Pulau Besar dirancakkan menjelang TMM2024
Next post Suami digalak taja suri rumah SKSSR – PERKESO
Ubah saiz-+=