WARGA ALOR GAJAH SAMBUT BAIK INISIATIF TANPA TUNAI
REMBIA 5 September – Sistem pembayaran tanpa tunai yang bakal diperkenalkan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) pada setiap transaksi di kaunter disifatkan sebagai tepat oleh warga Alor Gajah.
MPAG dalam satu kenyataan memaklumkanbakal melaksanakan traksaksi tanpa tunai di semua kaunter perkhidmatannya mulai 1 Oktober depan pada setiap hari Selasa dan Khamis.
Tinjauan Melaka Hari Ini mendapati, insiatif itu menerima respon positif dalam kalangan penduduk dan peniaga di daerah berkenaan dengan menyifatkan inisiatif berkenaan lebih mudah, pantas dan selamat.
Seorang peniaga di Bandar Alor Gajah, Amirul Haikal Hussaini, 22 berkata, sebagai generasi muda dia menyokong hasrat itu memandangkan ia bertepatan dengan dunia teknologi masa kini.
Katanya, pembayaran tanpa tunai juga kini menjadi pilihan orang ramai kerana ia lebih mudah dan selamat, namun beberapa penambahbaikan perlu dilakukan.
“Sebagai belia saya rasa ia bagus dilaksanakan kerana proses pembayaran lebih mudah dan kondusif, selain melancarkan setiap urusan.
“Cuma pembaharuan ini mungkin sedikit sukar buat golongan berusia dan kita berharap akan ada satu pendedahan seperti pengiklanan dan video untuk mengajar golongan ini untuk memudahkan mereka menggunakan perkhidmatan tanpa tunai ini,” katanya.
Sementara itu, seorang pekerja swasta di Alor Gajah, Muhammad Azri Amir, 27 berkata, sistem tanpa tunai seakan sebati dengannya pada masa kini memandangkan dia tidak lagi gemar membawa wang tunai yang banyak.
Dia turut menyambut baik jika pelaksanaan transaksi tanpa tunai diperluaskan dalam agensi atau jabatan kerajaan.
“Bagi saya sistem ini selamat untuk mengelakkan sebagai jenayah seperti ragut berlaku semasa pembayaran di kaunter.
“Kita harap agensi lain perlu mencontohi inisiatif yang dilaksanakan MPAG seperti ini sebab pada zaman ini sistem tanpa tunai itu hampir sebati dengan kehidupan kita.
“Saya memang menyokong usaha ini namun kita sarankan jika perlaksanaan ini dipraktikkan ia mesti diperluaskan dalam setiap aspek pembayaran di kaunter MPAG,” katanya.
Sementara itu, seorang peniaga kecil, Muhammad Ridzuan Rosman, 33, yakin perubahan yang dilakukan itu akan memudahkan lagi setiap urusannya di MPAG selepas ini.
“Cuma kita harap pelaksanaan ini diperluaskanlah di setiap apa jua perkhidmatan di MPAG kerana seperti sebelum ini meskipun pelaksanaan ini dijalankan masih ada kaunter yang memerlukan bayaran tunai dan ini menyusahkan orang ramai untuk berurusan.
“Ia juga perlu diberi pendedahan kepada golongan berusia kerana mereka kurang arif dengan pelaksanaan ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.