Wanita warga emas maut pacuan empat roda jatuh sungai di Marang
MARANG, 1 Disember – Seorang wanita warga emas maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya terbabas lalu terjatuh dari jambatan ke dalam sungai di Kampung Bukit Perpat, Wakaf Tapai dekat sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Marang DSP Mohd Zain Mat Aris berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada 11.19 pagi dan mangsa Zaiton Omar, 64, yang tidak sedarkan diri berjaya dikeluarkan dari kenderaan jenis Toyota Hilux itu oleh orang kampung.
“Mangsa yang memandu seorang diri telah disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan Klinik Pengkalan Berangan yang sampai ke lokasi kejadian,” katanya yang memberitahu mayat mangsa dihantar ke Hospital Hulu Terengganu untuk dibedah siasat.
Sementara itu, anak angkat mangsa, Wan Rafiyuddin Wan Mohd, 33, berkata sudah menjadi kebiasaan Zaiton memandu ke kampung berkenaan untuk mendapatkan bekalan pisang dan ubi untuk berniaga di gerai pisang gorengnya di Gong Beris.
“Arwah (Zaiton) baru ambil pisang di rumah saya di Kampung Bukit Perpat…kemudian saya dapat panggilan masuk daripada nombor telefon dia dalam pukul 11.05 pagi, tapi orang lain yang cakap beritahu kereta Hilux jatuh ke dalam sungai.
“Masa saya sampai di tempat kejadian, orang dah bawa keluar mayat mangsa. Rutin dia setiap hari beli pisang, ubi, cendawan seorang diri tanpa ditemani suaminya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.
Wan Rafiyuddin berkata ibu angkatnya yang berasal dari Kampung Lubuk Pandan dekat sini, mempunyai seorang anak perempuan yang bertugas di sebuah hospital di Negeri Sembilan.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.