Sorting by

×

Wanita warga emas antara enam individu terselamat insiden tanah runtuh di Ampang

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

KUALA LUMPUR, 9 Dis — Seorang wanita warga emas antara enam individu yang terselamat dalam insiden tanah runtuh berketinggian sembilan meter di Taman Halaman, Ampang, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian itu, sebuah rumah yang didiami mereka turut mengalami kerosakan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata pihaknya menerima laporan berhubung runtuhan itu pada 6.14 petang, sebelum tujuh anggota dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Ampang, digerakkan dan tiba di lokasi lima minit kemudian.

Beliau berkata pemeriksaan awal mendapati daripada dua buah rumah yang terlibat, hanya sebuah rumah yang berpenghuni dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

“Runtuhan tebing berukuran anggaran 9 meter X 15 meter persegi telah berlaku, dan mengenai bahagian belakang dua buah rumah dengan satu rumah kosong dan satu rumah berpenghuni.

“Ketika kejadian, dalam rumah berpenghuni itu terdapat enam orang iaitu seorang wanita warga emas berusia 70-an, seorang lelaki dan seorang wanita dewasa masing-masing berusia 40-an dan tiga remaja perempuan berumur di antara 10 hingga 16 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Norazam berkata kesemua mereka dinasihatkan keluar dari rumah buat sementara waktu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Beliau berkata ketika ini, bomba sedang membuat pemantauan di lokasi kejadian sebagai langkah berjaga-jaga.

— BERNAMA

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4405
Kongsi :
Previous post Juruteknik didenda RM7,000 hantar komunikasi lucah
Next post Jambatan sementara dibina di Kampung Kubang Badak atasi hakisan tanah
Ubah saiz-+=