Wanita UMNO aktifkan ‘mod pilihan raya’ berteraskan ‘power’ – Noraini
KUALA LUMPUR, 17 Mac – Wanita UMNO kini berada dalam ‘mod pilihan raya’ dengan berbekalkan lima teras iaitu‘Plan (rancangan); Organize (menyusun); Wellbeing (kesejahteraan), Educate (mendidk) dan Ready (bersedia) atau ‘POWER’.
Ketuanya Datuk Noraini Ahmad berkata teras itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang semakin hampir dan memastikan pimpinan, jentera dan ahli parti supaya bersiap siaga pada tahap tertinggi.
“Mungkin perhimpunan kali ini perhimpunan terakhir sebelum kita masuk ke medan perang. Apabila semboyan perang dibunyikan, Wanita UMNO telah siap sedia untuk berjuang di medan pertarungan pilihan raya,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita UMNO di sini hari ini yang dihadiri 954 perwakilan dari 191 bahagian.
Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meluangkan masa mendengar ucapan dasar Noriani, manakala Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO hadir mendengar perbahasan.
Dalam pada itu, Noraini berkata kesepakatan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani bersama antara blok kerajaan dan pembangkang perlu diambil kira dalam membuat keputusan berkaitan PRU15.
Sementara itu, Noraini berharap peratusan calon wanita pada PRU15 akan ditingkatkan kepada 30 peratus seperti dijanjikan kepimpinan sebelum ini walaupun pada PRN Johor baru-baru ini Barisan Nasional (BN) meletakkan 25 peratus calon wanita.
“Dalam PRU14, calon wanita BN hanya mewakili 11.7 peratus daripada keseluruhan calon yang ditampilkan. Kita berterima kasih kepada presiden kerana pada PRN Johor, BN meletakkan 25 peratus calon wanita, tetapi kita harap untuk PRU15 kita akan capai 30 peratus,” katanya.
Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong mencadangkan agar sasaran MyKasih Kapital seramai 5,000 orang yang dibentangkan dalam Bajet 2022 ditingkatkan bagi membantu lebih ramai wanita menjana pendapatan memandangkan jumlah ibu tunggal di negara ini mencecah 1 juta orang.
“Sasaran 5,000 peserta sangat sedikit, tidak akan membantu memulihkan ramai wanita yang hilang pekerjaan dan mata pencarian akibat pandemik COVID-19. Ini belum termasuk wanita dari keluarga B40 dan M40 yang juga memerlukan sumber pendapatan tambahan bagi membantu keluarga,” katanya.
Seterusnya, Noraini yang juga Menteri Pengajian Tinggi berkata usaha mengangkat darjat pendidikan tinggi anak-anak bangsa ke persada lebih tinggi telah dan sedang dilakukan melalui Majlis TVET negara (MTVET) agar TVET tidak lagi menjadi pendidikan kelas kedua.
Noraini turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan kerana membenarkan pengeluaran khas simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 seperti diumum perdana menteri semalam.
“Terima kasih kepada perdana menteri yang begitu prihatin dengan keresahan hidup rakyat, pastinya, ia memberi satu rahmat dan kelegaan yang besar kepada rakyat yang sedang berusaha untuk memulihkan kehidupan mereka,” katanya.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.