Sorting by

×

Wanita terjatuh laut dari Jambatan P. Pinang dakwa ditolak rakannya

Masa Membaca:2 Minit, 9 Saat

GEORGE TOWN, 16 Jan – Wanita yang terjatuh ke dalam laut dalam kejadian di Kilometer 2.8 Jambatan Pulau Pinang semalam mendakwa ditolak rakan lelakinya ketika mereka sedang bertengkar di hentian jambatan itu.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Khaw Kok Chin berkata berdasarkan keterangan awal wanita berusia 40 tahun itu mendakwa telah ditolak rakannya berusia 37 tahun tersebut yang juga pegawai kanan polis tetapi bukan bertugas di negeri ini.

Katanya polis membuka kertas siasatan berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan bunuh dan siasatan lanjut masih dijalankan.

“Dalam kejadian 7.45 malam itu, pada mulanya berlaku pertengkaran antara lelaki dan wanita yang merupakan rakan itu sebelum mereka yang menaiki kereta berhenti di hentian Jambatan Pulau Pinang tersebut, wanita itu mendakwa dia telah ditolak oleh rakannya lelaki sebelum mereka jatuh bersama.

“Pada masa sama seorang lelaki (orang awam) yang berada di situ terus terjun untuk menyelamatkan mereka dan ketiga-tiga mereka telah diselamatkan dengan dibawa bot nelayan ke Jeti Pasukan Polis Marin Batu seterusnya dihantar ke hospital untuk rawatan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Khaw ditemui selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Timur Laut antara ACP Razlam Abd Hamid dan Supt V. Saravanan yang sebelum ini memangku jawatan itu. Razlam sebelum ini merupakan Ketua Polis Daerah Taiping di Perak.

Khaw berkata polis ketika ini sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk merekodkan keterangan saksi-saksi yang melihat kejadian itu bagi membantu siasatan kes itu.

Katanya lelaki itu masih menerima rawatan di hospital kerana kecederaan di kepala dan pihak polis akan merekodkan keterangannya dalam masa terdekat ini.

Menurutnya berdasarkan siasatan pegawai kanan polis itu mempunyai satu kes jenayah yang masih dalam siasatan iaitu Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana memukul dalam kejadian di daerah Timur Laut, baru-baru ini.

“Lelaki itu masih di hospital dan nanti kami akan tengok dulu dari segi percakapannya dan berhubung kenyataan wanita tersebut kami juga siasat setakat mana kejituannya berhubung dakwaan kata ditolak.

“Kami kena dapatkan pengesahan dulu, kepastian daripada saksi lain dan baru kami putuskan sama ada akan reman atau tidak pegawai kanan polis tersebut,” katanya.

Khaw berkata wanita itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan dia bekerja kilang serta menetap di Pulau Pinang.

Dalam kejadian itu, tindakan pantas seorang lelaki yang terjun ke dalam laut dari Jambatan Pulau Pinang berjaya menyelamatkan seorang lelaki dan seorang wanita yang terjatuh ke dalam laut dalam kejadian di Kilometer 2.8 menghala Perai, semalam.

Media melaporkan sebelum terjatuh ke dalam laut, mereka yang menaiki kereta Honda Civic dipercayai telah bergaduh di kawasan hentian di Jambatan Pulau Pinang.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

14432
Kongsi :
Previous post Kerajaan serius laksana transformasi digital negara, mahu rakyat sedar – PM
Next post ‘Groom’ kapten bas Panorama sempena TMM2024
Ubah saiz-+=