Wanita sakit ‘tiga serangkai’ selamatkan ibu uzur dalam kebakaran
PANTAI KUNDOR: 27 Jan. – “Saya seakan-akan tidak ada masalah lemah jantung, darah tinggi dan kencing manis semasa berlari ke dalam rumah emak dan membawanya keluar dari rumah yang terbakar,” kata Mazitah Bedul, 54.
Wanita itu berkata, biarpun sukar berjalan akibat penyakit ‘tiga serangkai’ itu, dia bagaikan mendapat kekuatan luar biasa ketika bergegas menyelamatkan ibunya, Fatimah Othman, 82, yang uzur daripada terperangkap dalam kebakaran itu, malam kelmarin.
Mazitah berkata, dalam kejadian jam 9.15 malam itu dia terpaksa melupakan penyakit dihidapinya demi memastikan ibunya dan dua cicit lelaki berusia lima dan sembilan tahun diselamatkan.
Katanya, ketika kejadian dia menonton televisyen dan terdengar letupan kecil dari luar rumah dan apabila menjengah di pintu hadapan, dia terkejut melihat dapur rumah ibunya terletak kira-kira empat meter dari rumahnya, dijilat api.
“Saya memang ada masalah untuk berjalan tetapi apabila melihat api semakin marak, saya seakan-akan boleh berlari masuk ke dalam rumah dan memeluk ibu untuk membawanya keluar.
“Dalam masa sama abang saya, Zazali, 58, yang tinggal berdekatan, datang membawa dua cicit ibu keluar,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di Kampung Pantai Kundor, Tanjung Kling, di sini hari ini.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka, Penolong Penguasa Bomba, Soon We Kiang berkata, Balai Bomba dan Penyelamat Tangga Batu yang menerima panggilan pada jam 9.33 malam
menghantar 14 anggota ke tempat kejadian.
“Operasi mengawal api diketuai Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II Zaidi Kadiron dan kerja pemadaman tamat jam 12.29 tengah malam,” katanya ketika dihubungi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan yang menziarahi mangsa berkata, beliau membiayai perbelanjaan mendapatkan pakaian untuk mangsa selain menyampaikan sumbangan wang tunai.
“Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) juga akan membantu mendapatkan rumah sewa untuk mangsa selain Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan keperluan makanan.
“Kita juga berusaha membolehkan mangsa menerima sumbangan Tabung Bencana Alam Kerajaan Negeri Melaka,” katanya.