Wanita rugi RM8,000, ditipu lelaki menyamar anggota polis

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

ALOR GAJAH 6 Jan – Seorang wanita berputih mata apabila kerugian RM8,000 selepas diperdaya seorang lelaki menyamar anggota polis yang dikenalinya menerusi laman sosial lima bulan lalu.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Arshad Abu berkata, siasatan awal mendapati mangsa berusia 53 tahun yang bekerja sebagai pencuci berkenalan dengan suspek lelaki menerusi laman Facebook sejak Julai tahun lalu.

Katanya, ketika perkenalan itu suspek mendakwa dirinya bekerja sebagai anggota polis dengan menunjukkan kad penguasa polis dimilikinya.

“Sejak perkenalan itu, mangsa telah meminjamkan wang beberapa kali kepada suspek sehingga dia mencurigai status suspek.

“Susulan itu, mangsa membuat laporan polis dan mendakwa telah mengalami kerugian sebanyak RM8,000,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata bertindak atas maklumat berkenaan, sepasukan pegawai dan anggota polis menahan suspek dipercayai dalam keadaan mencurigakan dalam sebuah kereta jenis PROTON Perdana di hadapan Balai Cerap Al-Khwarizmi, Tanjung Bidara dekat sini pada jam 4 petang kelmarin.

“Ketika penahanan itu, polis menemukan sehelai pelitup muka berlogo polis berwarna hitam dan sekeping kad penguasa polis yang bukan milik suspek selain kereta dinaikinya dan beg sandang.

“Siasatan lanjut mendapati suspek berusia 30 tahun dan bekerja sebagai pembantu kedai makan,” katanya.

Menurut Arshad, suspek direman selama empat hari bermula kelmarin hingga Sabtu ini untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

825
Kongsi :
Previous post Bernama, RTM perlu wujud ekosistem baharu dalam penyampaian maklumat
Next post Melaka River Cruise kembali beroperasi
Ubah saiz-+=