Sorting by

×

Wanita rugi RM3,230 ditipu pembelian kucing menerusi Instagram

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

KUANTAN 3 Ogos – Seorang pekerja swasta membuat laporan polis mendakwa diperdayakan dalam pembelian dua ekor kucing menerusi laman sosial Instagram hingga kerugian RM3,230 semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, wanita berusia 24 tahun itu mendakwa bayaran dibuat bagi membeli kucing baka British Shorthair dan British Longhair, masing-masing diiklankan pada harga RM290 dan RM240.

SUPERINTENDAN Mohd Wazir Mohd Yusof. Foto-Facebook Polis Pahang.

“Mangsa mendakwa telah menghantar pesanan menerusi aplikasi WhatsApp pada iklan di laman itu dan berurusan dengan seorang lelaki sebelum memindahkan wang secara dalam talian ke akaun bank yang diberikan sebanyak empat kali berjumlah RM3,230 yang dikatakan sebagai bayaran kucing dan proses dokumentasi.

“Bagaimanapun, suspek dikatakan terus meminta wang atas pelbagai alasan termasuk bagi mendapatkan sijil kelahiran kucing menyebabkan mangsa curiga. Mangsa mendakwa enggan meneruskan pembelian dan meminta wangnya dikembalikan semula,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mangsa mendakwa suspek berkeras tidak mahu memulangkan wang itu, menyebabkan dia membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam dan siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sementara itu, Mohd Wazir berkata seorang guru wanita berusia 27 tahun dari Cameron Highlands turut mendakwa dirinya kerugian RM30,000 akibat diperdayakan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai kakitangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LDHN) dan anggota polis.

Menurutnya, mangsa dihubungi seorang wanita petang semalam dengan mendakwa syarikat didaftarkan atas nama mangsa mempunyai tunggakan cukai sebelum seorang lelaki kononnya berkhidmat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah memaklumkan dirinya terlibat dengan kumpulan pengedar dadah.

“Mangsa mendakwa telah memindahkan semua wang simpanannya ke akaun diberikan anggota polis itu bagi tujuan siasatan pada 4.30 petang semalam dan sejak itu tidak menerima lagi panggilan telefon selain gagal menghubungi suspek sekali gus menyebabkan dia berasa ditipu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1192
Kongsi :
Previous post Bas Panorama Melaka henti operasi 5 hari
Next post Berbahas, berhujah dengan sopan
Ubah saiz-+=