Wanita rugi RM190,000 terpedaya skim pelaburan matan wang digital
JOHOR BAHRU 22 Julai – Seorang petugas sebuah sekolah antarabangsa kerugian RM190,000 selepas terperdaya dengan skim pelaburan mata wang digital tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Mohd Suhaimi Ishak berkata mangsa yang merupakan wanita berusia 50 tahun membuat laporan berkaitan kejadian semalam selepas menyedari dirinya ditipu.
Beliau berkata wanita berkenaan menyatakan mengetahui tentang skim itu setelah diperkenalkan oleh seorang lelaki tempatan dikenali menerusi laman sosial Instagram, yang menunjukkan cara melabur serta menerangkan graf keuntungan tinggi akan diperolehnya jika menyertai skim itu.
“Tertarik dengan tawaran suspek yang kononnya mangsa mampu hidup mewah hasil daripada pelaburan itu, mangsa telah memuat naik aplikasi pelaburan itu.
“Sepanjang tempoh antara 10 Jun hingga 16 Julai, mangsa telah melakukan enam transaksi pembayaran melalui aplikasi ‘Luno Malaysia’ membabitkan keseluruhan wang berjumlah RM190,000 untuk pembelian mata wang digital, seterusnya memindahkannya ke satu akaun lain menerusi aplikasi sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Suhaimi berkata wanita itu dapat melihat graf pelaburan yang menjana keuntungan tinggi, namun wang keuntungan berkenaan tidak dapat dikeluarkan dan dia perlu membuat bayaran tambahan sekiranya mahu mengeluarkan keuntungan itu.
“Mangsa yang syak dirinya ditipu bertindak membuat laporan polis dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.