Wanita mirip Zalina muncul di kafe adalah gelandangan – Polis
SHAH ALAM, 21 Julai – Seorang wanita yang didakwa mirip bekas pembaca berita sebuah stesen televisyen, Zalina Shaharah Azman atau lebih dikenali sebagai Zalina Azman yang dilaporkan hilang sejak November tahun lepas disahkan bukan personaliti televisyen itu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata wanita yang didakwa dilihat di tiga lokasi di Seksyen 3, 9 dan 14, di sini adalah individu sama iaitu seorang gelandangan.
“Pihak kami dah semak dengan pekerja kafe tersebut (tular di Twitter semalam) dan dapati yang datang ke kafe berkenaan adalah gelandangan. Bukan Orang Hilang (Zalina) yang dicari ketika ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Mohd Iqbal turut mengesahkan hasil semakan pihaknya, tiada individu tampil membuat laporan mengenai isu tersebut.
“Bagaimanapun, pihak polis mengalu-alukan orang ramai menyalurkan maklumat sehingga Zalina berjaya ditemui,” katanya.
Semalam, polis mengesahkan Zalina Shaharah, 58, masih berada dalam negara susulan tiada pergerakan keluar membabitkan wanita itu yang dikesan pihak berkuasa setakat ini.
Isnin lepas, Mohd Iqbal dalam satu kenyataan berkata pihaknya menerima laporan daripada anak lelaki Zalina Shaharah, Mikhael Norman, 33, berkenaan kehilangan ibunya pada 29 Nov tahun lepas.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.