Sorting by

×

Wanita mengaku murtad mohon maaf kepada kerajaan, rakyat Malaysia

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

Kuala Lumpur: Wanita yang mengaku warga Indonesia dan meninggalkan agama Islam untuk berkahwin dengan suaminya bukan Islam, tampil membuat permohonan maaf kepada kerajaan dan rakyat Malaysia, semalam, lapor Harian Metro.

Klip video rayuan maaf wanita terbabit berdurasi 3 minit 30 saat dan turut tular di media sosial.

“Demi Tuhan kita takkan buat apa lagi, kepada Menteri-Menteri, kepada seluruh rakyat Malaysia bagilah kesempatan (kepada) aku dan suami minta maaf. Kalau aku sama suami ada salah, maafkan.

“Tolong, maafkan suami saya. Kami punya anak kecil lagi…tolonglah. Bersujud di kaki kalian semua pun tak ada masalah.

“Anak saya masih kecil, masih memerlukan ayah. Mungkin kalau semua orang dah maafkan, kita janji kita takkan buat video tentang agama semua itu,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Terdahulu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Abdul Aziz Jusoh dilapor berkata, orang ramai diminta menyerahkan siasatan isu video seorang lelaki bukan Islam yang dikatakan memurtadkan seorang wanita Islam kepada pihak polis.

Isu itu katanya, sudah pun dalam perhatian dan tindakan polis selepas menerima aduan pelbagai pihak.

Dalam perkembangan berkaitan, BERNAMA melaporkan Polis Johor sudah mengenal pasti identiti lelaki yang tular di media sosial baru-baru ini kerana dipercayai memurtadkan seorang wanita Islam.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dilapor berkata, ini susulan pemeriksaan polis di sebuah rumah di Perjiranan Bandar Dato Onn, di sini, pada 9.50 malam semalam.

Katanya, pemeriksaan itu hasil maklumat yang menyatakan terdapat sekumpulan orang awam berkumpul untuk menyerbu premis itu kerana mengesyaki lelaki berkenaan berada di dalam premis.

“Pihak polis telah berjaya mengawal keadaan dan hasil pemeriksaan, didapati rumah itu hanya didiami oleh ayah dan kakaknya sahaja manakala suspek yang berusia lingkungan 29 tahun tiada di situ. Oleh itu, tiada tangkapan dan rampasan dibuat,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, kes video itu sedang Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 505 (C) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1269
Kongsi :
Previous post Selamat Menjawab Buat Calon SPM : Pastikan Kecemerlangan Milik Anda
Next post Met Malaysia keluar amaran ribut Dujuan berhampiran perairan Sabah
Ubah saiz-+=