Wanita maut terbabit kemalangan

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

ALOR GAJAH, 6 Dis – Pekerja kilang telur ayam maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan dengan sebuah kereta dalam kejadian di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), di Melekek, Simpang Ampat, di sini, petang semalam.

Kejadian kira-kira jam 6 petang itu mengakibatkan mangsa Zaitun Ab Ghani, 54, maut dilokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, kejadian membabitkan motosikal Yamaha Ego LC dan Proton Gen-2 yang dipandu lelaki berusia 33 tahun.

Beliau berkata, sebelum kejadian mangsa yang menunggang seorang diri dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Jalan Kemus, Simpang Ampat dari arah Melaka manakala kereta terbabit juga dari arah sama turut menghala ke Simpang Ampat.

“Siasatan awal mendapati sebelum kejadian mangsa dipercayai menunggang di lorong kiri manakala kereta terbabit berada di lorong kanan.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian kereta terbabit dipercayai terlanggar sebelah kanan eksoz motosikal mangsa menyebabkan dia tercampak di laluan kereta manakala motosikalnya terseret ke bahu jalan sebelah kiri,” katanya.

Arshad berkata, mangsa disahkan meninggal dilokasi kejadian sebelum dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah bagi proses bedah siasat.

“Kedua-dua kenderaan kini ditahan untuk dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) selain kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Views:

737
Kongsi :
Previous post Persatuan hotel jangka 30 peratus kehadiran pelancong
Next post Kebenaran rentas daerah, negeri ‘hidupkan’ pelancongan Melaka
Ubah saiz-+=