Wanita maut, remaja lelaki parah motosikal bertembung
KUALA LINGGI 2 Julai – Seorang pembantu restoran maut manakala seorang lagi parah selepas motosikal ditunggang kedua-duanya bertembung dalam kemalangan di Jalan Telok Gong di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, mangsa, Syakirul Farha Mohd Redhuan, 20 yang menunggang motosikal jenis Honda Vario maut di lokasi kejadian.
Manakala seorang remaja lelaki yang menunggang motosikal Yamaha 135LC berusia 18 tahun dan bekerja sebagai pembantu kantin sebuah sekolah rendah pula cedera parah.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, siasatan awal mendapati wanita berkenaan yang bekerja sebagai pembantu kedai makan di Kuala Sungai Baru dalam perjalanan dari arah Kuala Sungai Baru menghala ke Pengkalan Balak.
Katanya, seorang lagi penunggang motosikal dalam perjalanan dari arah Pengkalan Balak menghala ke Kuala Sungai Baru.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa memotong sebuah kenderaan di hadapannya sebelum bertembung dengan sebuah lagi motosikal yang datang dari arah bertentangan.
“Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala seorang lagi penunggang motosikal parah di bahagian muka dan patah kaki kanan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata mayat mangsa dibawah ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah bagi proses bedah siasat manakala remaja lelaki tersebut dibawa hospital sama untuk menerima rawatan.
Katanya polis sedang mengesan saksi yang melihat kemalangan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.