Wanita maut dipercayai dibunuh teman lelaki di Ipoh

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

IPOH, 25 Jun — Seorang wanita maut dipercayai dibunuh teman lelakinya yang berada di bawah pengaruh dadah di sebuah rumah kedai di Taman Song Choon di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata pihaknya menerima maklumat daripada seorang wanita pada 4.34 pagi tadi mengenai satu kejadian pergaduhan membabitkan pasangan kekasih itu di tingkat atas rumah kedai berkenaan.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa berumur 24 tahun itu berada dalam keadaan tidak sedarkan diri terbaring di atas sebuah katil dan disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh.

“Polis menahan teman lelaki mangsa berusia 23 tahun yang mengaku telah memukul mangsa dan turut menahan tiga lagi individu berusia lingkungan 29 hingga 65 tahun termasuk ibu suspek yang berada di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Yahaya berkata mangsa dan suspek yang tinggal bersama di rumah kedai tersebut mempunyai seorang anak lelaki berusia lapan bulan dan punca pergaduhan masih dalam siasatan.

Menurut Yahaya pihaknya merampas sebatang kayu penyapu dipercayai digunakan suspek untuk memukul mangsa selain turut merampas empat telefon bimbit milik kesemua suspek.

Katanya ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap kesemua suspek mendapati hanya teman lelaki mangsa positif dadah jenis methamphetamine dan kesemua suspek direman selama seminggu sehingga 1 Julai bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata dengan tertangkapnya kesemua suspek, kes itu berjaya diselesaikan dan pihaknya akan melengkapkan siasatan kes dan merujuk kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk cadangan pertuduhan.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

927
Kongsi :
Previous post Dua premis judi dalam talian diserbu, 13 warga asing ditahan
Next post Melaka Agrofest buat pengunjung rambang mata
Ubah saiz-+=