Wanita maut digilis treler
DURIAN TUNGGAL 23 Okt – Pengawal keselamatan wanita maut dalam keadaan tragis apabila digilis treler menyebabkan cebisan daging bertaburan dalam kemalangan di Jalan Bukit Balai, di sini petang tadi.
Dalam kejadian pada jam 3.30 petang itu, K Kali Amma, 31 yang menunggang motosikal jenis Honda maut di lokasi kejadian manakala pemandu lori berusia 44 tahun tidak cedera.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, siasatan awal mendapati pemandu treler dalam perjalanan dari Gangsa menghala ke Durian Tunggal manakala mangsa datang dari arah bertentangan.
“Sebaik tiba di selekoh kejadian, motosikal ditunggang mangsa hilang kawalan sebelum terjatuh dan memasuki laluan treler.
“Mangsa kemudian diseret dan maut di lokasi kejadian sebelum mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Hasan Basri berkata kedua-dua kenderaan itu dibawa ke Balai Trafik Alor Gajah untuk pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, penduduk di kawasan berhampiran, Mohd Harun Mohd Yusof, 70 berkata dia terkejut apabila terdengar dentuman kuat dari hadapan rumahnya.
Ujarnya, dia terkejut apabila melihat kemalangan maut yang mengorbankan penunggang motosikal terbabit.
“Saya ingatkan bunyi barang jatuh namun mendapati keadaan penunggang motosikal tersebut dalam keadaan yang mengerikan.
“Kawasan selekoh ini memang selalu berlaku kemalangan kerana kebanyakan kenderaan dipandu laju,” katanya.
Tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) di lokasi kejadian mendapati anggota trafik terpaksa mengutip cebisan daging di lokasi kejadian sebelum mayat mangsa dibawa ke Hospital Alor Gajah.