WANITA KELUAR BERJOGING DIPUKUL, DIKURUNG DALAM BILIK JIRAN

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

AYER KEROH 3 Oktober – Seorang wanita yang keluar berjoging bersendirian berdepan detik hitam apabila dipukul dan dikurung jirannya dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Taman Tasik Utama, di sini, kelmarin.

Lebih kejam, wanita berusia 22 tahun yang orang kurang upaya (OKU) lembam itu turut dipukul dengan tukul di bahagian kepala sebelum kaki dan tangannya diikat dengan wayar pengecas telefon bimbit oleh dua lelaki warganegara asing yang bekerja sebagai buruh binaan.

Mangsa bagaimanapun berjaya diselamatkan selepas ibunya bersama jiran telah melakukan pencarian di sekitar kawasan perumahan tersebut sebelum menemui mangsa dalam keadaan diikat dalam sebuah bilik di kejiranan tersebut.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati mangsa telah keluar berjoging seorang diri di sekitar kawasan rumah sebelum mendakwa ditarik dua lelaki masuk ke rumah dan memukul kepalanya dengan tukul.

Menurut beliau, akibat pukulan itu mangsa dikatakan tidak sedarkan diri sehinggalah ditemui ibu dan jirannya dalam sebuah bilik tidur berhampiran dapur rumah tersebut.

“Rumah tersebut dipercayai dijadikan tempat tinggal warganegara asing yang bekerja sebagai buruh binaan.

“Tiada rakaman litar tertutup (CCTV) ditemui dalam kawasan tersebut dan tiada saksi bebas yang melihat kejadian yang berlaku.

“Namun unit forensik telah menjumpai sebatang tukul besi dan wayar pengecas telefon yang dipotong dalam bilik tersebut sebelum merakam gambar di tempat kejadian dan lakaran rajah kasar diambil bagi membantu siasatan,” katanya.

Menurut beliau, hasil risikan dan siasatan yang dijalankan, dua suspek yang merupakan warganegara Bangladesh berusia 20 dan 36 tahun berjaya ditahan semalam, di tepi jalan di Taman Batu Berendam Putra.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan atau Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

965
Kongsi :
Previous post 1,000 BAKAL MERIAHKAN FUNWALK & FUNRIDE SUMMER @TANJUNG BIDARA
Next post PENGASUH MENGAKU TIDAK BERSALAH ABAI BAYI 12 BULAN HINGGA CEDERA DI TASKA
Ubah saiz-+=