Sorting by

×

Wanita berusia mangsa ‘scam’

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

AYER KEROH 16 Nov. – Sebanyak 5,218 kes penipuan siber atau ‘scam’ direkodkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang Januari hingga akhir Oktober lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman Datuk Zainuddin Yaacob berkata, daripada jumlah itu ia membabitkan kerugian berjumlah RM256 juta dengan 2,676 tangkapan.

“Bagaimanapun antara 2018 dan 2019 ia menunjukkan berlaku peningkatan membabitkan ‘scam’ ini apabila merekodkan sebanyak 5,725 kes dengan kerugian RM254 juta berbanding hanya 4,965 kes dilaporkan dengan RM226 juta kerugian pada 2018.

“Manakala pada 2018 sebanyak 2,233 tangkapan dengan 705 kes sudah dituduh di mahkamah dan pada tahun lalu 1804 tangkapan dibuat dengan 994 kes dituduh,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menjadi saksi Majlis Serah Tugas Ketua Polis Melaka antara Datuk Wira Mat Kasim Karim yang ditukarkan ke Jabatan Pengurusan Bukit Aman sebagai Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) dan Ketua Polis Melaka Baharu Datuk Abdul Majid Mohd Ali di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang.

Mengulas lanjut beliau berkata, berdasarkan rekod daripada kira-kira 5,000 kes yang dilaporkan kepada pihaknya lebih 3,000 mangsa adalah wanita dengan jumlah 55 peratus.

“Sebahagian besar mangsa adalah wanita berusia 51 tahun ke atas yang mana bila diaju dengan ugutan mereka secara tidak sedar cuba ikuti jalan cerita pemanggil kerana takut harta dirampas dibawah Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) atau ditahan di lokap,” katanya.

Ujar beliau, pihaknya ingin mengingatkan kepada masyarakat agar tidak mudah percaya dengan mana-mana pemanggil yang mengatakan panggilan mereka akan dipindahkan daripada satu jabatan ke jabatan atau agensi lain.

“Untuk makluman masyarakat kita tidak mempunyai kemudahan untuk memindahkan panggilan  dari jabatan ke jabatan lain contohnya dari PDRM ke Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atau sebaliknya,” katanya.

Views:

1282
Kongsi :
Previous post Ketua Polis Melaka baharu komited kembalikan zon hijau
Next post [Update] Kerajaan negeri tamat perjanjian tambak laut dengan pemaju Melaka Gateway
Ubah saiz-+=