Sorting by

×

Wanita berjubah cuba samun kedai emas diburu polis

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

AYER KEROH 22 Disember – Polis sedang giat memburu wanita berusia lingkungan 30-40 tahun yang dipercayai menjadi suspek utama kes cubaan samun menggunakan senjata di sebuah kedai emas di dalam pasar raya di Ayer Keroh, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 4.45 petang, 20 Disember, yang mana suspek dikatakan datang ke kedai tersebut untuk membeli emas.

Katanya, ketika dilayani pekerja kedai yang juga pengadu berusia 16 tahun, suspek yang memakai pelitup muka tiba-tiba mengeluarkan sebilah pisau dari beg galas, lalu mengacukan pisau ke arah pengadu.

Menurutnya, suspek kemudian mengarahkan pengadu memasukkan barang kemas ke dalam beg galas yang dibawanya.

“Kejadian itu disedari rakan sekerjanya yang sempat menarik pengadu yang ketika itu sedang terkedu ke belakang.

“Sebaik disedari, suspek kemudiannya melarikan diri dan usaha mencari suspek oleh pekerja kedai itu gagal.

“Pengadu bagaimanapun tidak mengalami kecederaan dan tiada kerugian berlaku,” katanya.

Menurut Christopher, kes disiasat di bawah Seksyen 393/397 Kanun Keseksaan iaitu cubaan merompak menggunakan senjata yang boleh memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan mengelakkan daripada mangsa jenayah sepanjang musim cuti persekolahan ini.

Terdahulu, rakaman video mengenai kes itu tular di media sosial.

Video berdurasi lapan saat itu menunjukkan wanita berjubah hitam cuba mengacukan sebilah pisau ke arah pekerja kedai sebelum kejadian disedari rakan pekerja berkenaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

6400
Kongsi :
Previous post Batang Kali: Empat mayat ditemukan bergulung dengan khemah – Polis
Next post Taman ‘Cahaya’ Dataran Sejarah gamit pengunjung
Ubah saiz-+=