Wang wasiat RM2 juta lesap ditipu ‘polis berpangkat Datuk’

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

AYER KEROH 25 Jan. – Seorang suri rumah berputih mata apabila wang simpanan dan wasiat peninggalan keluarganya berjumlah lebih RM2 juta lesap akibat diperdaya sindiket Macau Scam dalam kejadian 10 Januari lalu.

Mangsa berusia 49 tahun dari Ayer Molek, dekat sini, dipercayai telah dihubungi individu menyamar sebagai pegawai polis berpangkat ‘Datuk’ dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, mendakwa mangsa terbabit aktiviti penjualan dadah dan penggubahan wang haram.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) negeri, Superintendan E Sundra Rajan berkata, selepas dihubungi, wanita berkenaan menerima pesanan melalui WhatsApp yang menunjukkan waran tangkap dan surat pembekuan aset menerusi talian 014-7410772.

Mangsa yang ketakutan, ujarnya telah memberikan butiran akaun bank dan nombor OTP enam digit kepada suspek.

“Mangsa yang mula curiga kemudiannya merujuk perkara berkenaan kepada pihak bank dan dimaklumkan terdapat 164 kali transaksi pindahan wang dilakukan melalui aplikasi DuitNow berjumlah RM2,082,736.91 kepada 16 akaun berbeza.

“Mangsa menyatakan kesemua wang yang dipindahkan merupakan wang simpanannya dan wang wasiat peninggalan keluarga sebelum membuat laporan polis.

“Hasil semakan pihak polis mendapati nombor telefon 014-7410772 yang digunakan suspek terlibat dengan 13 laporan polis yang lain menggunakan modus operandi yang sama,” katanya dalam satu kenyataan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri Superintendan E. Sundra Rajan

Menurutnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 402 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu.

Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak mudah percaya dengan individu yang menyamar sebagai pihak polis atau sebagainya.

“Orang ramai boleh menyemak melalui laman web http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ atau muat turun aplikasi ‘Check Scammers CCID di aplikasi Playstore supaya dapat mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan,” katanya lagi.

Views:

385
Kongsi :
Previous post COVID-19: Kes baharu catat sedikit penurunan – Dr Noor Hisham
Next post Lampu berbentuk COVID-19 hanya kebetulan: Shadan
Ubah saiz-+=