Wang pusaka ibu lebur akibat pelaburan tak wujud
KUANTAN, 2 Januari – Tindakan seorang pelajar tingkatan enam menggunakan wang pusaka arwah ibunya membawa padah selepas pelaburan di media sosial Telegram yang disertainya tidak wujud.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata mangsa yang berusia 19 tahun mendakwa kerugian RM22,300 selepas menyertai pelaburan itu 14 Dis lepas.
Beliau berkata pelajar wanita itu mengeluarkan modal pendahuluan RM1,000 untuk mendapatkan nombor pengenalan dan kata laluan ke laman web pelaburan itu dengan dijanjikan akan menerima pulangan dalam tempoh tiga jam.
“Mangsa mendakwa semakan di laman web itu menyatakan dia telah mendapat pulangan sebanyak RM16,000, namun terpaksa membuat bayaran sebelum dapat mengeluarkan wang tersebut, menyebabkan dia menggunakan wang pusaka arwah ibunya,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Ramli berkata mangsa akhirnya menyedari pelaburan itu sebenarnya tidak wujud selepas tidak memperoleh wang dijanjikan dan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera, semalam.
Dalam perkembangan lain, pesara yang dikenali sebagai Ng, 58, mendakwa kerugian hampir RM100,000 termasuk simpanannya dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selepas diperdayakan sindiket Macau Scam sejak 21 Dis lepas.
Ng berkata dia dihubungi seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang dan sedang menyiasat kes pengedaran dadah melibatkan dirinya.
“Lelaki itu mengatakan wang simpanan saya akan diperiksa oleh Bank Negara Malaysia (BNM) supaya tidak berkait dengan kes dadah. Panggilan seterusnya disambung kepada seorang wanita yang mengatakan dirinya pegawai BNM yang kemudiannya menghantar satu pautan menerusi WhatsApp.
“Wanita itu meminta saya untuk mengisi maklumat peribadi termasuk maklumat perbankan yang dikatakan bagi tujuan semakan BNM,” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Semambu di sini hari ini yang turut dihadiri Ahli DUN Chan Chun Kuan.
Ng berkata beliau hanya menyedari wang simpanannya berkurangan pada 29 Dis lepas setelah membuat semakan di bank, justeru membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan pada hari yang sama.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.