Wang ihsan bantu nelayan beli persiapan raya
PANTAI KUNDOR 20 April – Nelayan di sekitar Pantai Kundor dan Klebang menarik nafas lega dan melahirkan rasa syukur selepas menerima wang ihsan bernilai RM400 daripada Pelabuhan Tanjung Bruas (Tanjung Bruas Port).
Wang ihsan atau pampasan itu diterima ekoran pelaksanaan kerja-kerja menaik taraf jeti sepanjang 50 meter di perairan Tanjung Kling sejak tiga tahun lalu.
Menurut Ketua Komuniti Nelayan Tanjung Kling, Aziz Japar, 65, dia berterima kasih kepada Kerajaan Negeri dan pihak pelabuhan kerana berjaya menyelesaikan isu yang berlarutan lebih tiga tahun itu.
Katanya, meskipun tuntutan asalnya adalah lebih tinggi berbanding yang diterima, namun dia tetap bersyukur dan duit yang diterimanya akan digunakan untuk membeli persiapan menjelang Aidilfitri.
“Alhamdulillah, saya antara nelayan yang memperjuangkan nasib komuniti nelayan sekitar yang terjejas sejak lebih tiga tahun lalu, dari nilai yang kita minta RM2,000 turun ke RM1,000, lepas itu RM500, dan kini terima RM400.
“Syukurlah, kerana difahamkan rundingan daripada pihak Kerajaan Negeri dan Pelabuhan Tanjung Bruas turut mencapai situasi menang menang, terima kasih,” katanya.
Nada sama turut dikongsikan seorang lagi nelayan, Rosli Ahmad, 53, yang turut akan menggunakan wang tersebut untuk membuat persiapan Aidilfitri.
“Walaupun bukanlah amaun yang kami minta pada awalnya, namun dengan persetujuan yang dicapai kami nelayan yang terkesan sedikit sebanyak dapat menarik nafas lega.
“Cukuplah sekadar untuk membuat perbelanjaan menjelang Aidilfitri, beberapa hari lagi dah nak raya, saya ucap terima kasih tidak terhingga kepada semua ketua-ketua pangkalan yang bermati-matian menuntut hak nelayan yang terkesan seperti kami.
“Dapatlah kami berhari raya dengan wang ihsan yang diterima ini,” katanya.
Terdahulu, kesemua sumbangan itu disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor, Tuminah Kadi @ Mohd Hashim di Dewan Hang Lekir MBMB, di sini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.