Waktu melawat tiga hospital di Melaka ditambah baik

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

BANDARAYA MELAKA 26 Julai – Waktu melawat di kesemua tiga buah hospital utama di negeri ini iaitu Hospital Melaka, Hospital Alor Gajah dan Hospital Jasin kini ditambah baik susulan negara kini berada di fasa peralihan ke endemik.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwe Hee Sem berkata, perubahan baharu itu akan berkuatkuasa mulai 1 Ogos 2023.

Katanya, dengan ketetapan itu, waktu melawat bagi wad biasa ditetapkan pada jam 12.30 tengah hari hingga 2 petang dan 4.30 petang hingga 7 petang bagi setiap hari Isnin hingga Jumaat.

Manakala bagi hari Sabtu, Ahad dan Hari Kelepasan Am, waktu melawat ialah pada jam 1 tengah hari hingga 7 petang.

Jelas Hee Sem, bagi wad-wad kritikal seperti unit rawatan rapi (ICU) pula, waktu melawat yang ditetapkan ialah pada jam 12.30 tengah hari hingga 2 petang dan 4.30 petang hingga 7 petang pada setiap hari termasuk Hari Kelepasan Am.

“Kesemua hospital masih mengekalkan peraturan dua orang pelawat (secara bergilir) bagi seorang pesakit dalam satu-satu masa, manakala kanak-kanak di bawah 12 tahun tidak dibenarkan masuk.

“Perubahan ini adalah seperti yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, mengulas mengenai situasi COVID-19 di Negeri Melaka, Hee Sem memaklumkan, kes jangkitan pada Minggu Epid 29 (ME 29) menurun apabila merekodkan 62 kes sahaja berbanding 76 kes pada minggu sebelymnya.

Katanya, setakat 22 Julai, tiada kluster aktif dan kematian direkodkan di Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

18578
Kongsi :
Previous post ERT PPSPM cekap dan profesional
Next post Warga emas bunuh jiran dipenjara 38 tahun
Ubah saiz-+=