
WAKIL SEKOLAH, IPT DIPELAWA UNTUK MERIAHKAN PIDATO RUKUN NEGARA PIALA TYT MELAKA
AYER KEROH 17 April – Semua sekolah rendah dan menengah di negeri ini dipelawa untuk bersama-sama menyokong seterusnya memeriahkan Pertandingan Pidato Rukun Negara Peringkat Kebangsaan Piala Pusingan Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Melaka 2025.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, setiap sekolah diharap dapat menghantar sekurang-kurangnya lima peserta bagi menyertai pertandingan itu.
Katanya, pertandingan itu bukan sekadar melahirkan murid dan pelajar yang petah berpidato tetapi ia sebenarnya mempunyai objektif lebih besar iaitu menggalakkan golongan muda memahami apa yang tersirat disebalik Rukun Negara.
“Peranan Rukun Negara sebagai asas penyatuan dan jati diri rakyat Malaysia, jadi kita harap setiap sekolah dapat menghantar antara lima ke 10 peserta dan seluruh Melaka ada kira-kira 400 buah sekolah rendah serta menengah.
“Selain itu kita juga mengharapkan penyertaan daripada wakil institusi pengajian tinggi (IPT), mari bersama-sama masuk ke gelanggang pidato dianjurkan,” katanya pada sidang media yang turut disertai Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem, baru-baru ini.
Menurut Rahmad, pertandingan itu dibahagikan kepada lima kategori dan penyertaan adalah terbuka kepada semua termasuk dari luar Negeri Melaka.
“Kali ini kita juga mensasarkan lebih banyak penyertaan peserta dari negeri lain seperti di sebelah Pantai Timur.
“Tahun lalu kita menerima sebanyak 3,755 penyertaan, bagi 2025 angka itu diharap meningkat kepada 4,000 orang. Insya-Allah dengan sokongan dan komitmen daripada semua pihak penganjuran ini akan berjaya,” katanya.
Jelasnya, mereka yang berminat boleh membuat pendaftaran menerusi laman sesawang rasmi pertandingan iaitu https://pidatotyt.melaka.gov.my/ atau berhubung dengan urusetia program iaitu Institut Tun Perak di talian 06-3176224.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.