WAKIL RAKYAT ‘JUTAWAN’ TIKTOK
AYER KEROH 28 Ogos – Media sosial kini menjadi antara platform yang paling penting bukan sahaja untuk orang kebanyakan, bahkan juga wakil rakyat.
Selain menjadi medan komunikasi secara dalam talian, media sosial juga menjadi tempat berkongsi gerak kerja dan pencapaian seorang figura bergelar pemimpin.
Selain Facebook dan Twitter, platform yang kini menjadi ‘trend’ dalam kalangan wakil rakyat adalah TikTok memandangkan laman sosial itu mula menjadi fenomena di seluruh dunia.
Malah, platform TikTok juga berjaya melahirkan pemimpin bergelar selebriti apabila ada di antara wakil rakyat di peringkat negeri berjaya mencapai sejuta pengikut (followers).
Antara figura yang mencapai status tersebut datangnya dari Negeri Melaka, iaitu tidak lain dan tidak bukan, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem.
Mohd Noor Helmy yang mula aktif di platform TikTok sejak penghujung 2022, kini bukan sahaja dikenali rakyat Melaka, bahkan menjadi fenomena di seluruh negara, apabila video secara bersahajanya mendekati rakyat di Duyong mendapat perhatian ramai.
Malah, beberapa watak yang diperkenalkan di Duyong seperti ‘Dak Nor’, ‘Aunty Darling’ dan lain-lain membuatkan kandungannya lebih dekat dengan masyarakat.
Menurut Mohd Noor Helmy, mempunyai pengikut yang ramai bukan sekadar mengejar populariti, bahkan ia juga datang dengan tanggungjawab yang cukup besar.
Ini kerana jelasnya, kesan atau impak mempunyai pengikut yang ramai menjadi asas terhadap sesuatu keputusan atau perkara yang dibuat.
“Ada yang melihat ia sebagai ‘content’ semata-mata dan ada yang menjadikan ia sebagai asas kepada keputusan mereka (rakyat) untuk memilih siapa wakil rakyat mereka.
“Bahkan ada orang meletakkan nombor itu sebagai penanda aras adakah wakil rakyat itu bekerja, jadi secara keseluruhan ia menjadi subjektif.
“Seperti saya, setiap kandungan yang dimuat naik itu perlu ada tujuan. Satu adalah untuk memberitahu apa yang berlaku, kedua, apa saya sedang lakukan dan ketiga berkongsi usaha Kerajaan Negeri usahakan yang perlu rakyat tahu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika bersiaran dalam Podcast ‘Mana Lagi, Melaka Ler’ di Studio Melaka TV, baru-baru ini.
Mohd Noor Helmy yang juga Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata media sosial kini bukan hanya medan berkongsi maklumat, tetapi ia juga menjadi pendidikan dan hiburan untuk rakyat.
“Kandungan yang saya kongsikan juga memberi pendidikan, contoh seperti pemotongan rumput, saya dapat berkongsi kepada masyarakat seperti aspek ketebalan dan syarat yang perlu dipatuhi. Kadang kala cara kita menyampaikannya mungkin dalam bentuk hiburan, tetapi objektifnya adalah untuk mendidik.
“Bercakap soal hiburan, ramai yang terhibur dengan gelagat watak-watak yang saya kongsikan, contohnya ‘auntie’ dan ‘uncle’, selain ‘Dak Nor’. Mereka ini adalah contoh Malaysia kerana ada berbilang bangsa.
“Mereka inilah watak-watak penting yang menggambarkan keharmonian dan perpaduan di Melaka agar masyarakat di luar sana tidak lagi dirosakkan dengan pemikiran bersifat perkauman,” katanya.
**Saksikan video penuh Podcast di pautan:
- https://www.facebook.com/share/v/AQ4RtE2kQgGdiwXi/?mibextid=qi2Omg
- https://youtu.be/Gsro9Wv8LlA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.